PAS Perlu Nyatakan Pendirian – Idris Haron

- Advertisement -

MELAKA: Jika benar dakwaan bahawa Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu seperti dilaporkan Mingguan Malaysia, maka sudah tiba masanya Pas menyatakan pendirian sama ada mahu bersama UMNO melalui wadah Muafakat Nasional (MN) atau kekal dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berkata, memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa, Pas tidak boleh lagi bermain dengan ‘dua kolam’ apabila berlakunya pertembungan tiga penjuru.

Beliau berkata, bagaimanapun, penafian Biro Penerangan UMNO semalam berkaitan dakwaan itu menimbulkan persoalan sama ada apa yang dilaporkan akhbar tersebut benar atau sekadar khabar angin.

“Jadi, pada saya masih lagi dalam keadaan yang tidak jelas kerana satu pihak menyatakan tiada kerjasama dengan Bersatu dan PN, yang mana kita membayangkan akan ada pertembungan tiga penjuru.

“Pas kena buat pilihan. Pas tak boleh sekejap kiri sekejap kanan. Pas kena buat pilihan sama ada mahu atau tidak bersama UMNO. UMNO secara tradisi bersama MCA, MIC dan semua komponen dalam BN.

“Saya beranggapan mungkin ada kebenarannya juga UMNO tidak bersetuju (bersama dengan Bersatu) tapi bila ada kenyataan daripada Biro Penerangan UMNO yang menyatakan itu semua tidak betul, jadi saya berlapang dada mengharapkan keputusan ini yang terbaik dan tak terlalu lewat,” katanya ketika ditemui di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau Melaka berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung sebuah syarikat pelupusan sisa pepejal yang dikompaun kerana melakukan pencemaran sumber air.

Terdahulu, Mingguan Malaysia melaporkan, MT UMNO sepakat menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

Ketika diminta mengulas, Bersatu melalui Naib Presidennya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, keputusan itu adalah hak mutlak MT UMNO selaku kepemimpinan yang berhak menentukan hala tuju parti.

Sementara itu, berhubung isu pencemaran sumber air, Idris memberitahu, kerajaan negeri telah mendapat keizinan kompaun daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya negeri untuk mengkompaun syarikat Greenviro Solutions Sdn. Bhd.

Beliau berkata, kegagalan syarikat itu menguruskan tapak pelupusan di Sungai Udang menyebabkan air hitam yang tercemar masuk ke tali air dan menjejaskan tanaman sawah padi di daerah Melaka Tengah.

“Syarikat dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 bagi kesalahan pertama ini. Sekiranya terdapat kesalahan berulang, jumlah kompaun maksimum dikenakan iaitu RM125,000 atau RM1,000 pada setiap hari,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat