KUALA LUMPUR – Semua pelajar di seluruh negara, tanpa mengira bangsa perlu menguasai Bahasa Melayu selaku bahasa rasmi Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem pendidikan negara membolehkan semua pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk menguasai bahasa mereka.
Bagaimanapun kata beliau, penguasaan bahasa Mandarin dan Tamil itu dengan syarat Bahasa Melayu dikuasai sepenuhnya oleh semua pelajar.
“Malaysia ini sudah menjadi negara yang matang, tumpuan kita meningkatkan mutu pendidikan anak-anak kita. Saya tetapkan dalam negara ini penguasaan Bahasa Melayu yang baik, kita juga tekankan keperluan untuk bersaing di persada dunia melalui penguasaan Bahasa Inggeris yang baik.
“Kita sudah pasti, tetapkan juga supaya Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan guru-guru bahasa Cina bukan sahaja di SJKC tetapi di Sekolah Kebangsaan (SK) sekiranya ada anak-anak yang mahu belajar bahasa Cina atau Tamil mahupun Arab.
“Ini sebab kita mahu ke depan, tidak mahu lagi pertelingkahan antara kaum yang tidak berkesudahan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Tionghua di Dewan SJKC Perting, lapor Utusan di Bentong pada Khamis.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keutamaan negara adalah meningkatkan mutu pendidikan bagi memastikan seluruh pelajar boleh bersaing di peringkat antarabangsa.
“Ini cita-cita kita, jadi bahasanya, sains, matematik dan kecerdasan buatan (AI) harus dikuasai sejak di bangku sekolah rendah lagi.
“Saya harap semua rakyat, dari semua kaum lihat rancangan ini dari sudut mengangkat mutu pendidikan negara. Ada perbedaan kecil, kita boleh bincang tapi jangan hilang fokus kita.
“Kalau mahu Malaysia maju, mahu anak-anak kita maju, baiki sekolah, latih guru-guru, beri kemudahan, kuasai bahasa, kuasai AI dan digital, kuasai sains serta matematik. Ini yang akan tentukan masa depan anak-anak kita,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM13.5 juta untuk SJKC Perting dan RM300,000 diluluskan segera bagi memastikan kerja menaiktaraf dan menyelenggara sekolah dapat dilakukan dengan cepat.
“Ini supaya tidak menimbulkan masalah bagi masa depan pelajar-pelajar. Saya harap SJKC Perting menjadi salah satu sekolah yang baik, contoh bagi rakyat Bentong,” ujarnya.



