Perjanjian ART tak sedia hak istimewa kepada AS, Bumiputera juga tak terjejas

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan tiada klausa dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan dasar Bumiputera.

Menteri MITI Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata demikian ketika mengulas konteks kebimbangan dalam kepentingan domestik, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dasar Bumiputera susulan perjanjian dimeterai dengan AS itu.

Beliau juga menegaskan perjanjian terbabit tidak menyediakan hak istimewa kepada syarikat AS.

“Kerajaan ingin menekankan bahawa setiap perjanjian perdagangan antarabangsa yang dirundingkan, termasuk ART sentiasa dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati bagi memastikan ia tidak menjejaskan kepentingan domestik dan kedaulatan negara.

“Setiap komitmen dipersetujui melalui perjanjian ini adalah selaras dengan undang-undang domestik sedia ada dan keutamaan kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia,” katanya menjawab soalan Syahir Sulaiman (PN-Bachok) melalui jawapan bertulis disiarkan laman web Parlimen.

Syahir memohon penjelasan mengenai usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan perjanjian ART tidak mendiskriminasi kepentingan domestik, termasuk keupayaan menyokong GLC, dasar Bumiputera, kutipan cukai digital, perlindungan industri pertanian dan perikanan tempatan serta autoriti badan kawal selia strategik negara.

Mengulas konteks peranan GLC, Johari berkata perjanjian ART tidak mengehadkan peranannya dalam pembangunan ekonomi negara, malah kerajaan tetap berkuasa penuh untuk menentukan sokongan yang bersesuaian termasuk inisiatif yang bertujuan memperkukuhkan ekonomi domestik dan kesejahteraan rakyat.

Bagi perkara berkaitan cukai digital, katanya ART tidak menghalang Malaysia untuk mengenakan cukai digital selagi ia tidak mendiskriminasi syarikat AS.

“Kerajaan juga akan terus berusaha untuk membangunkan industri pertanian dan perikanan negara. Walau bagaimanapun, pada masa ini negara masih merupakan pengimport bersih bagi produk-produk pertanian dan perikanan.

“Oleh itu, pembukaan pasaran bagi industri pertanian dan perikanan, termasuk melalui ART, adalah untuk

memastikan isu keselamatan makanan negara terus terjamin terutamanya kecukupan bekalan makanan pada harga yang berpatutan kepada rakyat,” katanya menurut BH pada Khamis.

Tambah beliau, produk pertanian dan perikanan yang diimport di bawah ART masih perlu lulus atau diberi kelulusan ‘SPS measures’ (kawal selia sanitari dan fitosanitari), pada tahap sama dengan pengiktirafan piawaian antarabangsa.

“Peranan Badan Kawal Selia negara bagi menjamin keselamatan makanan terus dikekalkan di bawah ART.

“Penguatkuasaan, seperti menghalang kemasukan ke dalam negara, masih boleh dilaksanakan terhadap produk-produk yang disyaki boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan awam,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat