KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh secara sarkastik mengaku ‘takut’ dengan Naib pengerusi DAP Nga Kor Ming yang melabel dirinya sendiri sebagai singa.
“Wauu takutnya anggap diri singa, tapi makna “ham” pun dia tak faham malah anggap ham itu proses buat makanan.
“Oh lupa,orang bebal memang begitu, dasar ham,” bidas Exco Melaka itu dalam catatan di Facebooknya pada Rabu.
Akmal berkata demikian sebagai reaksi balas kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan bahawa dia tidak berminat untuk melayan mahupun bergaduh dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.
Kata Kor Ming, dia tidak akan merendahkan martabatnya dengan melayan karenah Akmal.
“Dari kedudukan saya, komen saya: singa tidak berdebat dengan lalat.
“Dia tidak setaraf, jadi kami tidak akan bergaduh,” kata Kor Ming yang dipetik dalam wawancara eksklusif denganChina Press.
Sebelum ini, Akmal menyekolahkan Kor Ming berhubung isu sandwic “ham” yang dijual di KK Mart di kampus Universiti Malaya (UM) dengan menggunakan logo halal yang tidak sah.
Kor Ming sebelum itu berkata, ‘ham’ hanya merujuk kepada daging yang telah diawet dan terdapat ham ayam belanda dan ham ayam, yang sesuai untuk dimakan.
Menurut pemimpin DAP itu, menjadikan perkara tersebut sebagai isu hanya menunjukkan siapa sebenarnya yang bodoh.
Akmal kemudian tampil menjawab bahawa ‘ham’ adalah merujuk kepada daging babi, bukannya proses pembuatan makanan.
Dia seterusnya membidas Kor Ming dan mencadangkan menteri itu supaya merujuk definisi “ham” dalam Oxford Learner’s Dictionary, yang menyatakan ia merujuk kepada daging babi.
Dalam laporan China Press, Kor Ming berkata bahawa walaupun dia tidak akan melayan Akmal, namun DAP tidak akan berdiam diri.
Sebaliknya, apabila berdepan kritikan daripada Pemuda Umno, DAPSY, kata Kor Ming akan membalasnya.
“Untuk setiap kenyataan yang dibuat oleh Akmal, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) akan memberikan respons sepuluh kali ganda.
“Bukan sahaja ketua baru sayap pemuda akan bertindak balas, malah setiausaha publisiti turut akan mengeluarkan kenyataan secara konsisten.
“Jadi, kita tidak berdiam diri. Kita hanya bertindak berdasarkan kedudukan masing-masing, ” kata Kor Ming.