KUALA LUMPUR – Pemberian tol percuma pada musim perayaan tidak menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya bertol.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya perkara yang penting ialah pengguna jalan raya mengubah sikap dan merancang perjalanan apabila tiba musim perayaan.
“Jumlah gantian dalam bentuk pampasan oleh kerajaan kepada pemegang konsesi tol itu melebihi RM35 juta sehari.
“Walaupun ia tidak melibatkan pampasan tunai secara langsung tetapi konsensi itu terpaksa dipanjangkan dan ini tidak menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya yang bertol,” katanya ketika diminta mengulas keputusan kerajaan menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan.
Beliau berkata keputusan menghentikan pemberian tol percuma itu merupakan keputusan Jemaah Menteri susulan saranan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sebelum itu, Alexander menegaskan, tiada lagi tol percuma sempena musim perayaan kepada pengguna lebuh raya di negara ini bermula tahun ini.
Beliauberkata, ini berikutan kerajaan telah memutuskan tahun 2024 adalah tahun terakhir bagi pemberian tol percuma.
Katanya, keputusan berkenaan yang diputuskan pada mesyuarat Kabinet tahun lalu bagaimanapun akan diganti dengan pendekatan yang lebih bersasar.
“(Tol percuma untuk Tahun Baharu Cina) Kalau ikut keputusan itu (Kabinet) tiada.
“Kalau ada mungkin ada pertimbangan lain, kita akan umumkan.
“Kerajaan juga telah menyelaraskan subsidi untuk pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat Malaysia yang perinciannya kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Sambutan Tahun Baru Cina bermula 29 Januari ini merupakan musim perayaan pertama pada tahun ini.