58 Maut Kemalangan Jalan Raya Empat Hari Pertama Ops Selamat 19 – Polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sejumlah 58 kematian direkodkan di seluruh negara sepanjang empat hari pertama Ops Selamat 19 dilancarkan sempena Tahun Baharu Cina yang bermula Rabu lalu.

Semua kematian direkodkan melalui 52 kemalangan maut dengan penunggang dan pembonceng motosikal mencatat angka tertinggi dengan 31 kematian,

Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Mohd Nasri Omar, berkata selain penunggang dan pembonceng motosikal, korban dalam kalangan pemandu dan penumpang kereta juga merekodkan angka tinggi dengan 20 kematian.

“Selebihnya membabitkan pejalan kaki dengan dua kematian serta masing-masing satu membabitkan penunggang basikal dan pemandu/penumpang pacuan empat roda.

“Dalam tempoh empat hari Op Selamat 19 juga, sejumlah 7,180 kemalangan dicatatkan membabitkan 9,198 kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah kemalangan pada Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina 2023 meningkat 37 peratus berbanding Op Selamat 17 sempena perayaan sama tahun lalu dengan 5,236 kemalangan.

Bagaimanapun, angka kematian akibat kemalangan maut dalam empat hari Op Selamat 19 dan Op Selamat 17 mencatat jumlah sama iaitu 58 kematian.

Op Selamat 19 akan berkuat kuasa 10 hari bermula Rabu lalu hingga 27 Januari ini.

Dalam pada itu, Mohd Nasri berkata, sepanjang empat hari Op Selamat 19, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 9,653 saman atas enam kesalahan lalu lintas utama.

“Sebanyak 3,250 saman dikeluarkan atas kesalahan langgar lampu isyarat, 2,785 saman untuk kesalahan melebihi had laju dan 1,316 saman kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Selain itu, sebanyak 1,183 saman dikeluarkan atas kesalahan memotong barisan, 692 saman untuk kesalahan memotong di garisan berkembar dan 427 saman kesalahan memandu di lorong kecemasan,” katanya.

Untuk statistik hari keempat semalam, katanya, sebanyak 1,546 kemalangan dicatatkan membabitkan 1,928 kenderaan.

“Kereta mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 1,397 buah atau 72 peratus, diikuti dengan kenderaan pacuan empat roda (256), motosikal (199) dan lori (42).

“Selain itu, 20 kemalangan membabitkan van, 11 bas dan tiga kenderaan teksi,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat