KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) amat memahami keadaan dan situasi yang dihadapi pengurusan tertinggi Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) apatah lagi warga kapal His Thai Majesty’s Ship (HTMS) Sukhothai yang terpaksa melaksanakan operasi dalam situasi laut bergelora dan keadaan kapal yang berusia 35 tahun.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur berkata, pastinya terdapat banyak cabaran dan kekangan yang dilalui bagi memastikan kapal berkenaan siap siaga untuk diatur gerak sebilang masa.
Tambahnya lagi, memandangkan 58 peratus daripada kapal-kapal TLDM berusia jauh lebih tua daripada HTMS Sukhothai.
“Marilah kita seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar perkara serupa tidak akan menimpa kapal-kapal kita. Tanpa apa-apa tindakan drastik dari keraiaan dalam menanaani isu bajet pertahanan sekali gus isu keusangan aset-aset kita, masalah ini akan terus membelenggu TLDM untuk jangka waktu yang panjang.
“Pada masa yang sama, TLDM akan mengkaji semula kesemua SOP berkenaan “sea worthiness” dan penugasan kapal-kapal kita yang jauh lebih tua berbanding HTMS Sukhothai. Ini adalah bagi mengelakkan risiko perkara serupa daripada berlaku ke atas kapal-kapal kita,” tegasnya dalam kenyataan pada Rabu.
Panglima Tentera Laut dan warga TLDM mengucapkan salam takziah kepada warga Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) atas musibah yang berlaku kepada His Thai Majesty’s Ship (HTMS) Sukhothai pada malam 18 Disember 2022 baru-baru ini.
“Warga TLDM berharap dan mendoakan semoga warga HTMS Sukhothai yang mash hilang dapat ditemui dalam keadaan selamat,” ucapnya.
Seramai 105 anak kapal berada di atas kapal perang HTMS Sukhothai ketika karam pada Ahad iaitu kira-kira 37 kilometer dari pantai tenggara negara itu.
HTMS Sukhothai dilaporkan mengalami masalah enjin sebelum dibadai angin kencang dan dimasuki air lalu karam malah sistem operasi kapal tersebut tidak berfungsi menyebabkan ia hilang kawalan.
Kini pasukan penyelamat Thailand bertungkus lumus mengesan baki 23 lagi kelasi yang masih hilang manakala 75 kelasi telah diselamatkan.