JPS Akan Tebuk Benteng, Pam Keluar Air Di Taman Sri Muda

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengguna pakai kaedah penebukan benteng dan pengepaman air banjir bagi mengatasi masalah air genang yang sedang berlaku di Taman Sri Muda, Shah Alam, berikutan banjir yang melanda kawasan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Abd Latiff Ahmad berkata, 21 pam akan digunakan untuk mengalirkan air genang itu ke Sungai Klang.

“Lokasi tepat untuk penebukan benteng itu masih belum dimuktamadkan dan ia akan diputuskan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air.

“Kerja penebukan sementara ini perlu dilaksanakan segera kerana keadaan air genang dan sekiranya dibiarkan akan berlarutan sehingga dua minggu,” katanya pada sidang media khas, malam tadi.

Mengenai insiden banjir di Taman Sri Muda beliau berkata, kira-kira 2,000 penduduk masih terperangkap kerana enggan berpindah dari kawasan tersebut.

“Antara sebab mereka tak nak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ialah kerana risau dijangkiti wabak COVID-19.

“Kami akan terus membantu mereka yang enggan berpindah ini dengan cara menghulurkan bantuan makanan dan keperluan asas,” katanya.