Guru Besar perjelas video tinggal dalam stor

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, George Odol yang sebelum ini mendedahkan terpaksa tinggal dalam stor prasekolah tampil menjelaskan video dimuat naik beliau di TikTok sebelum ini adalah situasi dilaluinya sebelum rumah guru yang usang itu, siap dinaik taraf.

Menerusi video dikongsikan di laman Facebook Malaysia Mendidik semalam, George menunjukkan perkembangan terkini sederet rumah guru sudah siap dinaik taraf dan mula digunakan warga pendidik sekolah berkenaan.

“Saya ingin mengulas mengenai video yang saya ‘upload’ (muat naik) minggu lalu mengenai isu rumah guru di sekolah ini terutama guru besar yang tinggal di stor prasekolah.

“Untuk makluman, kenyataan saya itu tidak membabitkan dua bulan terakhir perkhidmatan saya di sekolah ini. Saya mula datang melapor diri untuk bertugas sebagai pentadbir di sekolah ini pada Jun 2020 dan akan menamatkan perkhidmatan saya di sekolah ini pada 27 November 2023, lagi beberapa hari.” ujarnya.

George berkata, Kementerian Pendidikan sudah mengambil langkah iaitu rancangan jangka pendek dan rancangan jangka panjang.

Beliau merujuk kepada peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM200,000 yang disalurkan Kementerian Pendidikan bagi menyelenggara dan menaik taraf rumah guru sedia ada yang bermula pada Jun lalu dan siap bulan ini.

“Dalam rancangan jangka pendek, Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk menyelenggarakan rumah guru sedia ada di sekolah ini sebanyak tujuh unit dan siap sepenuhnya pada hari ini (semalam) dan sudah mula dihuni oleh guru di sekolah ini,” katanya.

Bangunan terbabit mengandungi tujuh pintu kelihatan kemas dan teratur berbanding bangunan asal yang hanya dilengkapi lima pintu berdindingkan zink yang kelihatan daif dan tidak selesa sebagai tempat tinggal.

Difahamkan, bangunan asal berbentuk rumah panjang yang dijadikan rumah guru itu pada mulanya dibina oleh guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat setempat kerana tiada kuarters guru dibina di sekolah terbabit sejak ia dibuka pada 2000.

“Rancangan jangka panjang pula, Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM12.5 juta untuk membina empat lagi rumah guru di sekolah ini.

“Jadi, dengan dua tindakan drastik yang diambil Kementerian Pendidikan melalui rancangan jangka pendek dan panjang, ini bererti isu rumah guru di SK Ulu Ansuan ini akan berakhir dalam masa yang terdekat ini,” katanya.

Peruntukan bagi projek jangka panjang diumumkan dalam Belanjawan 2024 itu turut merangkumi pembinaan blok akademik dan pentadbiran sekolah.

Video dikongsi George sebelum ini yang menunjukkan suasana stor dijadikan tempat tinggalnya mendapat perhatian ramai sebelum Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan yang sudah diambil bagi menangani isu berkenaan.

Sumber

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat