KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Pas lebih cenderung menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin, susulan kepemimpinannya dalam menggerakkan jentera Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15).
Selain itu karakter Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu turut didakwa Wan Ahmad Fayhsal disenangi Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa sokongan itu jelas kelihatan apabila Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menamakan Hamzah menjadi Ketua Pembangkang dalam satu mesyuarat yang diadakan selepas PN gagal membentuk kerajaan tanpa mengadakan sebarang perbincangan terlebih dahulu.
“Dalam mesyuarat itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) bertanya kepada Tuan Guru (Abdul Hadi), siapa yang Pas mahu namakan sebagai Ketua Pembangkang dan beliau segera menjawab, Pas setuju menamakan Datuk Seri Hamzah.
“Saya lihat Tan Sri Muhyiddin agak terkejut kerana Datuk Seri Hamzah ketika itu ialah Setiausaha Agung PN.
“Jadi, Pas pun nampak Datuk Seri Hamzah memainkan peranan yang berkesan untuk menyatukan jentera PAS dan Bersatu, sebab itu kita menang PRU15 (kerusi terbanyak),” katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan semalam, lapor BH pada Selasa.
Wan Ahmad Fayhsal, yang ketika itu ialah Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) juga menceritakan mengenai kejadian ketika malam sebelum PRU15, apabila Umno yang diterajui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi pilihan kepada Pas sama ada mahu kekal dengan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno atau bersama Bersatu dalam PN.
“Majoriti dalam Pas berkira-kira mahu bersama MN tapi mereka tak mahu meninggalkan Bersatu. Tuan Guru kata tidak boleh, kalau MN sekadar Umno dan Pas saja, tidak cukup.
“Siapa yang selamatkan Bersatu ketika itu untuk kekal dalam PN? Orang itu ialah Datuk Seri Hamzah.
“Sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, beliau mempunyai maklumat mengenai kemungkinan keputusan pilihan raya dan beliau berjaya meyakinkan Pas dan Tuan Guru, jika Pas bersama Bersatu, mereka akan dapat bahagian yang besar dan ia terbukti benar,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal yang kini digantung daripada Bersatu selama sepenggal berhubung isu akuan bersumpah (SD) berkaitan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu, berkata selepas dilantik menjadi Ketua Pembangkang, Hamzah memainkan peranan penting di Parlimen, terutama menjadikan pembangkang sebagai satu pasukan yang kukuh.
Beliau mendakwa, Hamzah juga banyak menanggung kos perbelanjaan PN, termasuk di ibu pejabat PN dan Parlimen.
“Beliau mempunyai karakter yang disukai semua Ahli Parlimen. Majoriti Ahli Parlimen PN menyokong beliau sebagai Ketua Pembangkang, jadi memang tiada isu terhadap kepemimpinannya,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, keadaan itu menyebabkan Hamzah kurang disenangi segelintir pimpinan Bersatu, yang mendakwa beliau membayangi kepemimpinan Muhyiddin, sehingga pada satu masa, wujud gerakan untuk menjatuhkan beliau sebagai Setiausaha Agung Bersatu.
“Ada ketika di mana hubungan Datuk Seri Hamzah dan Presiden agak renggang kerana orang ketiga yang mencucuk, apabila beliau lebih ke depan dan mendapat liputan.
“Ini kerana beliau hanya Setiausaha Agung yang dilantik, jadi (dikatakan) pandai-pandailah, jangan membayangi.
“Bila nak ke depan, ada orang Presiden tegur beliau balik. Ini masalah yang dihadapi beberapa tahun ini,” dakwanya.



