Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)beriltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan hutan dan pelbagai jenis pokok, selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.
Menyedari kepentingan hutan dalam menjamin kesejahteraan hidup, kerajaan melalui Rancangan Fizikal Negara (RFN) Ke-4 telah menyasarkan sejumlah itu di kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia menjelang 2040.
Pada masa ini, kawasan berhutan negara adalah seluas 18.05 juta hektar, yang mewakili 54.58% daripada keseluruhan keluasan tanah negara.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata demikian pada majlis Karnival Penghijauan Malaysia dan Simfoni Hutan Hujan Tahun 2024 (KL Green Symphony 2024) sempena Sambutan Jubli Emas Hutan Simpan Bukit Nanas,
di Tower Terrace , Menara Kuala Lumpur, dekat sini pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha NRES (Sumber Asli), Norsham Abdul Latip; Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan NRES, Siva Kumar A/L Salay Rajah; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Dato’ Mohd Rahim Rani, dan Timbalan Ketua Pengarah JPSM (Operasi dan Teknikal), Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid.
Nik Nazmi berkata, sehingga kini rekod penanaman telah mencapai sebanyak 99,483,068 pokok pada peringkat kebangsaan sejak 2021 hingga 2025 yang menyasarkan tanaman pokok berjumlah 100 juta di seluruh negara.
Sasaran itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, Hutan Simpan Bukit Nanas merupakan kawasan hijau dalam persekitaran urban yang terbaik dan merupakan simbol keindahan alam yang perlu kita pelihara dan hargai, kerana ianya satu-satunya hutan yang masih terpelihara.
“Melalui Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) akan memberikan potongan cukai kepada entiti yang menaja aktiviti penanaman pokok atau projek kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar bagi menggalakkan penglibatan aktif daripada sektor swasta, NGO, masyarakat dan inidividu.
“Institusi pendidikan diseru turut serta secara aktif dalam program yang berkaitan dengan kelestarian hutan agar kesedaran tentang kelestarian hutan dapat dipupuk sejak usia muda, sekaligus menyumbang kepada usaha jangka panjang untuk melindungi alam sekitar,”katanya.
Sementalah itu, Ketua Pengarah JPSM, Dato‘ Hj. Zahari Ibrahim berkata, program KL Green Symphony 2024
julung-julung kali diadakan di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) Hutan Simpan Bukit Nanas merupakan kawasan hutan hujan tropika yang terletak di tengah-tengah bandar raya.
Zahari berkata, TERKL berfungsi sebagai green lung Kuala Lumpur dan contoh bagaimana kawasan hijau dapat dipelihara meskipun berada dalam persekitaran urban yang pesat.
Menurutnya, hutan ini terletak bersebelahan dengan Menara Kuala Lumpur, menjadikannya destinasi ekopelancongan yang menarik dan mudah diakses oleh pelancong dalam dan luar negara.
“Satu tarikan popular di sini, ialah laluan titian kanopinya yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan dari ketinggian, dengan pemandangan hutan tropika di bawah serta panorama bandaraya Kuala Lumpur yang indah
“Hutan simpan ini telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) pada 14 September 1906 dan merupakan di antara HSK jenis tanah pamah yang tertua di Semenanjung Malaysia dengan ketinggian 94 meter dari paras laut
“Kawasan ini menempatkan pelbagai spesies flora dan fauna, menjadikannya tapak penting untuk pemeliharaan biodiversiti, pendidikan kelestarian alam, aktiviti rekreasi serta penyelidikan.
“Pemeliharaan kawasan ini membantu mengekalkan ekosistem bandar, mengurangkan pencemaran udara, dan menyediakan habitat untuk spesies tempatan yang terancam,”katanya.
“Program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai pentingnya mengekalkan kawasan hijau, memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam, dan mencipta lebih banyak peluang bagi ekopelancongan yang dapat
memberi manfaat ekonomi kepada negara, ”katnya lagi.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh NRES memaklumkan, satu memorandum persefahaman (MoU) Wakaf Tunai Perkhidmatan Hutan Malaysia (Wakaf Hutan) dimeterai di antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan NRES.
MoU ini disaksikan oleh Nik Nazmi dan ditandatangani antara NRES yang diwakili oleh Ketua Setiausahanya , Datuk Dr. Ching Thoo a/l Kim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Dr. Ridzwan Bakar.
“Wakaf Hutan akan menjadi sebagai salah satu produk wakaf tunai YWM, dana wakaf terkumpul untuk digunakan bagi pelaksanaan projek pembangunan kemudahan asas di dalam HSK serta projek atau program pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan HSK.
“Sebagai permulaan, dana wakaf yang berjaya dikumpul akan digunakan untuk melaksanakan projek perintis di Hutan Simpan Sungai Besi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Projek ini akan dilaksanakan secara berfasa yang menumpukan kepada pemulihan dan pembangunan kemudahan asas untuk masyarakat setempat,”kata kenyataan itu.
“Program KL Green Symphony 2024 diadakan, bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat tentang usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan, mempromosikan program Penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok.
“Selain itu, meraikan sempena ulang tahun ke-50 Pentadbiran Hutan Simpan Bukit Nanas serta mempromosikan TERKL sebagai salah satu destinasi ekopelancongan sejajar dengan persiapan Malaysia sebagai tuan rumah kepada ASEAN Summit 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
“Penganjuran karnival ini bertemakan ‘Hutan: Simfoni Kehidupan Alam’ ‘Hutan: Simfoni Kehidupan Alam’ merupakan salah satu inisiatif daripada NRES dan JPSM untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam memelihara kawasan berhutan, ”tambahnya.
“Pelbagai aktiviti yang menarik telah disusun untuk orang ramai sepanjang karnival sehingga 21 Oktober ini seperti Malam Simfoni Hutan Hujan, Santai Bersama Selebriti, Canopy Night Walk, Fiesta Makanan, pertandingan sukan dan riadah.
“Selain itu, pertandingan TikTok, Pertandingan Fotografi Flora dan Fauna, pameran, larian dan kayuhan Lestari, demonstrasi memanjat pokok, perolehan biji benih dan Fi masuk untuk tiga hari itu, adalah percuma, ”tambahnya lagi. – SUARA.TV