KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan persetujuan 100 peratus dengan cadangan tiada pencen untuk ahli politik termasuk dirinya sendiri.
Tegas Presiden Muda itu, sekarang ini pencen ahli politik lagi berganda daripada penjawat awam yang berkhidmat puluhan tahun.
“Ahli politik masuk pejabat, terus dapat pencen seumur hidup.
“Pencen yang bertingkat-tingkat pula.
“Menteri, Ahli Parlimen, ADUN macam-macam jawatan,” katanya di aplikasi X malam tadi.
Jelas Syed Saddiq lagi, adalah wajar cadangan letak di bawah Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) sama seperti rakyat biasa.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan bekas penasihat ekonomi Perdana Menteri, Muhammed Abdul Khalid, berpendapat semua menteri dah ahli Parlimen patut ‘diajar’ untuk merasai kesempitan hidup seperti dilalui orang orang kebanyakan dengan membatalkan pencen mereka.
Untuk itu dia mencadangkan menteri dan ahli Parlimen dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti orang lain.
Kata Muhammed juga kerajaan melakukan “kesilapan terbesar sejak negara ini merdeka” apabila membenarkan wang carumah dalam KWSP dikeluarkan beberapa tahun lalu.
Langkah itu, katanya, menyebabkan ramai orang mengalami kesukaran hidup.