Tumpu Kemenangan PRN Sabah – Mohamad Hasan

- Advertisement -

TANJUNG MALIM – UMNO Sabah hari ini diminta bersatu bagi memastikan parti memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) September ini.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata soal siapa yang mengetuai jentera PRN Sabah tidak penting kerana matlamat utama adalah memperoleh kemenangan.

“Jangan berpecah belah. Kalau berpecah, itu resepi untuk kalah. Kalau belum masuk gelanggang lagi kita dah kalah tidak guna juga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa pemimpin UMNO Sabah yang tidak bersetuju dengan pelantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai jentera BN menghadapi PRN Sabah kerana mempunyai kes di mahkamah.

Rabu lepas, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan adalah munasabah bagi Bung Moktar mengetuai jentera parti itu bagi menghadapi PRN Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 Sept dengan hari pencalonan 12 Sept dan pengundian awal pada 22 Sept.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan bahawa Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan PAS berada dalam jawatankuasa penaja bersama Bersatu untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN), Mohamad berkata UMNO menghormati pendirian dibuat PAS.

“PAS menyertai PN itu tidak ada apa-apa isu kerana dalam Muafakat Nasional (MN) kita tidak ada yang mengikat. PAS boleh sertai PN kerana MN pun bukan suatu badan yang didaftarkan, belum didaftarkan lagi kerana dalam kita punya piagam bekerjasama.

“UMNO telah membuat pendirian bahawa kami tidak menyertai PN dan PAS menghormati pendirian kami, dan PAS pula kata dia nak bersama untuk sertai PN, kami juga menghormati pendirian PAS,” katanya.

Terdahulu, Mohamad bersama calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz beramah mesra dengan penduduk di medan selera di pekan Slim di sini.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat