Susah sebenarnya nak tegur kawan dan sekarang semua tak puas hati dengan saya – Rafizi

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan ujian sebenar seorang pemimpin bukanlah lantangnya dia semasa berhadapan dengan lawan.

Sebaliknya tegas beliau, ujian sebenar ialah istiqamahnya menegur kawan dalam parti dan kerajaan.

Hal ini katanya, kerana menegur kawan itu lebih susah dari menegur lawan.

“Semua tak puas hati dengan saya sekarang. Yang dalam kepimpinan PKR, bila saya bagi pandangan, ramai yang kepanasan. Setiausaha Agung, Fuziah Salleh siap keluar memo lagi konon bila kami bangkit isu badan kehakiman, itu sama macam hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

“Yang dalam Pas, bila saya usik pendirian mereka yang berubah-ubah, pun pakat serang ramai-ramai. Tapi dalam bab ini yang dalam PKR dan Pas sebenarnya ada satu persamaan. Mereka akan ungkit kenapa tidak membantah semasa kamu dalam kerajaan.

“Saya pasti pimpinan Pas ada jawapan yang sama dengan saya. Sebab mereka pernah berdepan dengan keadaan yang sama semasa dalam kerajaan dulu,” dakwanya.

Ujar Ahli Parlimen Pandan itu lagi, dulu, kerajaan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri telah menaikkan cabutan loteri kepada 22 kali setahun berbanding 8 kali sebelum itu.

“Kecoh satu negara. Macam mana kerajaan yang ada parti Islam tetapi menaikkan cabutan loteri. Saya pasti Pas dah berbincang dalaman, dah suarakan dan dah bantah dalam Kabinet Muhyiddin Yassin. Samalah bila ada isu yang saya tidak bersetuju, sudah tentu saya nyatakan kepada Perdana Menteri atau suarakan dalam Kabinet.

“Tapi akhirnya Menteri tertakluk kepada keputusan akhir PM ataupun Jemaah Menteri.

“Bezanya saya dengan Pas begini; walaupun saya diminta kekal dalam Kabinet, bila saya rasa sudah tidak serasi atau pandangan saya tidak boleh dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, maka saya letak jawatanlah.

“Pas lain sedikit. Walaupun di luar menjerit anti-judi dan mahu mengangkat syiar Islam, selepas di dalam bersuara masih lagi kekal sampai ke sudah.
Loteri naik 3 kali ganda pun tak apalah asalkan ana kekal jadi Menteri,” katanya.

Menurut bekas Timbalan Presiden PKR itu, sebab itu bagi beliau, ujian sebenar seorang pemimpin bukanlah lantangnya dia semasa berhadapan dengan lawan tapi ujian sebenar ialah istiqamahnya menegur kawan dalam parti dan kerajaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat