KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini masih belum mengeluarkan keputusan kes pengabaian kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin selepas peguam memfailkan hujahan tambahan pagi tadi.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin meminta masa tambahan itu untuk meneliti hujahan yang dikemukakan sebelum prosiding pendengaran keputusan dimulakan.
“Pihak pendakwaan baru sahaja menerima hujahan tambahan dari pihak peguam pagi tadi di mahkamah. Di dalam hujahan tersebut dimaklumkan beberapa isu dan pendakwaan merasakan perlu menjawab isu-isu yang dibangkitkan,” katanya.
Hakim Dr Syahliza Warnoh kemudian membenarkan permohonan tersebut dan menangguhkan prosiding selama satu jam.
“Mahkamah mengambil maklum tentang kes ini dan membenarkan pendakwaan untuk meneliti (hujahan yang baharu difailkan),” katanya lapor Utusan di Petaling Jaya pada Isnin.
Pada hari terakhir perbicaraan kes itu April lalu, mahkamah menetapkan 23 Mei lalu untuk pihak pembelaan memfailkan penghujahan bertulis sementara penghujahan balas pendakwaan diarahkan untuk difailkan pada 6 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan masih kekal mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.



