KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa bahawa sokongan ahli Bersatu terutama di peringkat akar umbi masih berpihak kepadanya.
Berkas perdana menteri itu berkata, meskipun Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memecat beliau dan beberapa orang pengikutnya yang lain, mereka masih merupakan ahli parti itu.
“Secara umumnya Bersatu menyokong saya sebagai pengerusi kerana mereka percayakan saya.
“Kami anggap diri kami masih lagi ahli Bersatu. Beliau (Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin) terus pecat sesiapa sahaja sekiranya tidak menyokongnya.
“Itu tidak boleh kerana perlembagaan ada prosedurnya. Oleh itu, saya masih lagi ahli Bersatu dan kami akan tunggu mahkamah untuk putuskan,” kata Mahathir dalam sesi temubual eksklusif dengan The Malaysian Insight.
Tambah Mahathir, parti itu juga mempunyai perlembagaan dan tidak boleh memecat sesiapa tanpa siasatan yang telus.
“Dalam perlembagaan parti, presiden perlu berunding dengan pengerusi, iaitu saya. Tapi beliau pecat saya tanpa bertanya saya. Beliau juga pecat setiausaha agung tanpa tanya saya,” kata Dr Mahathir.
Bagaimanapun katanya, Muhyiddin telah memujuk ketua-ketua bahagian untuk menyokongnya.
Ini katanya menyebabkan hampir semua ketua bahagian Bersatu mengubah pendirian mereka dan kini menyokong Muhyiddin.
“Dan jika kamu tidak sokong beliau, beliau akan pecat kamu dan letakkan orang yang menyokongnya.
“Tetapi ramai akar umbi masih menginginkan Bersatu yang lama. Mereka tidak ditawarkan apa-apa dan jumlah mereka ramai. Mereka bukan ahli Parlimen. Mereka merasakan objektif asal Bersatu harus dipertahankan. Maksudnya, kita menentang Umno.
“Kini kita perlu teruskan tanpa pemimpin,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata kempen “Bersatu Blackout” yang dilancarkan pada Sabtu lalu menunjukkan beliau masih mempunyai sokongan akar umbi.
“Walaupun mereka tiada pemimpin, mereka hadir dengan ramai. Pada Sabtu, saya ada 800 orang dalam dewan.