CYBERJAYA — Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Sembrong hari ini mengemukakan usul agar bekas ketua bahagiannya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dipertimbangkan untuk diterima semula ke dalam UMNO.
Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam ucapan perasmiannya, menyatakan komitmen untuk membawa usul tersebut ke perhatian pucuk pimpinan tertinggi parti.
“Sembrong ini bukan sekadar kawasan politik, ia tempat saya mula belajar dan mengenal erti perjuangan. Dan orang yang membawa saya ke sini ialah Hishammuddin,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, usul tersebut mencerminkan penghargaan ahli akar umbi terhadap jasa dan kepimpinan Hishammuddin di kawasan itu.
“Saya dimaklumkan ada usul supaya pucuk pimpinan UMNO mempertimbangkan semula untuk menerima beliau kembali di peringkat UMNO Bahagian Sembrong. Insya-Allah sebagai pengerusi UMNO Johor, saya akan bawa usul ini ke peringkat tertinggi,” katanya lagi.
Untuk rekod, Hishammuddin digantung keahlian selama enam tahun pada tahun 2023 bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, dipecat atas dakwaan sabotaj semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15.
Desakan agar ketiga-tiga tokoh politik itu kembali menyertai UMNO pernah disuarakan pada Disember lalu, susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini turut menyatakan kesediaan parti untuk menerima semula mana-mana bekas ahli termasuk Khairy dan Hishammuddin, asalkan mereka mengikut prosedur dengan mengemukakan rayuan seperti dilakukan Tajuddin.