KUALA LUMPUR — Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta kerajaan untuk menghentikan penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat Blackrock melalui Global Infrastructure Partners (GIP) yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Beliau berkata pendirian Malaysia dalam isu Palestin adalah sangat jelas dan ini bertentangan dengan usaha penjualan saham yang berjumlah 30 peratus.
“Kita mahu solidariti kita ini bukan hanya berada peringkat antarabangsa. Ia harus dibuktikan dalam negara kita sendiri.
“Jadi pada hari ini, Pemuda Umno ingin sekeras-kerasnya memohon dan juga mendapatkan perhatian kerajaan supaya penjualan saham ini kepada syarikat yang dimiliki BlackRock ini boleh dihentikan serta-merta.
“Penjualan ini secara langsung akan mendedahkan aset berkepentingan nasional dan awam kepada pihak yang rapat dan mempunyai simpati kepada agenda Zionis,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.
Akmal turut mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk membatalkan kehadiran syarikat asing yang mempunyai kaitan dengan Zionis kerana dikhuatiri boleh menjejaskan ekonomi negara.
Mengakui perkara itu, Akmal tidak menolak sebelum ini ekonomi negara pernah terjejas ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Banyak lagi syarikat di luar sana yang MAHB boleh meminta bantuan. Saya tidak rasa kalau tiada (penjualan saham kepada) BlackRock ini, MAHB akan bankrap kerana banyak lagi syarikat di luar sana yang boleh membantu MAHB,” katanya.