KUALA LUMPUR – Pimpinan Umno hari ini dengan lantang menuntut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya melepaskan jawatannya kerana dinilai tidak memberi kesan kepada pemulihan ekonomi negara.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membubarkan sahaja jawatan Menteri Ekonomi yang dipegang Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim tak payah ikut struktur Jemaah Menteri Kerajaan PH 1.0. Bubar sahaja jawatan Menteri Ekonomi itu.
“Dulunya, (Datuk Seri) Azmin Ali pegang jawatan itu. Tak berkesan pun. Sekarang, Rafizi pula.
“Sama juga. Lagi tidak berkesan, ekonomi negara dan ekonomi rakyat semakin tergugat,” gesa beliau yang juga Veteran Umno dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil juga tampil dengan gesaan senada dengan Shahrir yang menuntut Rafizi meletakkan jawatannya.
“sokong. Dulu Azmin, sekarang Rafizi. 2×5, 5×2.
“Kalau tidak ditegur, nanti rakyat (dan Umno) juga yang ‘kena getah’,” kata Isham.
Beliau sebelum ini menyatakan Rafizi kata kerajaan tidak bincang lagi pun tentang sama ada kerajaan akan campur tangan untuk mempertahankan ringgit.
“Dia kata kita bukan ada banyak rizab pun untuk mempertahankan ringgit.
“Saranan saya, kerajaan perlu bincang segera. Ringgit sudah lama jatuh dan terus jatuh dan ini memberi kesan buruk kepada kenaikan harga barang dan makanan yang banyak bergantung kepada import.
“Ada banyak cara kerajaan boleh mempertahankan ringgit dan bukan hanya dengan menggunakan rizab.
“Perlu bincang segera, jika tidak takkan kerajaan ingin biarkan ringgit jatuh begitu sahaja, Rafizi? soal beliau.