KUALA LUMPUR – UMNO berpendirian tegas untuk mendesak Kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, , Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, kegagalan Kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah.
“Justeru, tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal Sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah.
“Sebagaimana yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian Parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani Pandemik Covid-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.
“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya” katanya. -SuaraTV