Kedai Gunting Taman Cheras Indah Hanya Caj RM1 Untuk Petugas Barisan Depan

- Advertisement -

“Memang tiada untung pun tetapi saya berpegang kepada konsep semakin kita memberi, pasti ada rezeki datang dalam pelbagai bentuk,” kata Muhamad Azreen Yahaya, 30.

Pemilik kedai gunting rambut di Taman Cheras Indah, Kuala Lumpur itu menawarkan khidmat gunting rambut pada caj RM1 untuk petugas barisan hadapan lelaki merangkumi kakitangan kesihatan, tentera, polis dan pekerja penghantaran.

Katanya, dia menawarkan caj minimum itu bermula semalam hingga hujung Jun ini sebagai tanda penghargaan kepada golongan berkenaan.

“Memang niat saya mahu bersedekah dengan cara ini sebagai tanda kesyukuran kerana dapat beroperasi semula selain menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan.

“Dengan hasil kerja keras dan penat lelah mereka itulah kami kini dapat membuka semula kedai (gunting rambut) ini selepas tiga bulan tutup,” katanya.

Menurutnya, golongan terbabit hanya perlu menunjukkan pas tugas dan aplikasi digunakan untuk melayakkan mereka menerima manfaat itu.

“Sebenarnya saya hendak beri percuma saja, tetapi kebanyakan orang tidak selesa dan tidak mahu menerimanya… jadi saya hanya kenakan caj paling minimum.

“Tetapi untuk kakitangan saya, mereka tetap dibayar gaji macam biasa dan setimpal dengan kerja dibuat.

“Daripada segi sambutan pula, memang amat menggalakkan, sampai kami terpaksa hadkan 10 orang saja sehari untuk promosi khas ini tetapi jika lebih kami terima juga bergantung kepada permintaan selagi tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, pihaknya juga menghargai pelanggan setia melalui cabutan bertuah bermula 15 Julai hingga 15 Ogos ini dengan menawarkan pakej percutian dan wang tunai kepada lima pemenang bertuah.

“Saya lega kedai gunting rambut dapat dibuka kerana kami antara sektor perkhidmatan paling terjejas teruk akibat Covid-19.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setiap hari ada saja pelanggan menghubungi, malah ada sanggup tunggu tiga bulan untuk gunting rambut dengan kami, sampaikan kami terima lebih 700 senarai pelanggan menunggu.

“Jadi kami anjurkan inisiatif seumpama ini sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan kerana menyokong dan percaya dengan khidmat kami,” katanya.

Sementara itu, anggota polis, Jumeli Jominit, 31, berkata dia berterima kasih kepada Azreen berikutan menawarkan khidmat caj RM1 kepada petugas barisan hadapan sepertinya.

“Saya bukanlah pelanggan tetap, tetapi dapat tahu mengenai promosi ini selepas dimaklumkan pemilik kedai ini ketika membuat pemantauan di kedainya sebelum ini.

“Saya rasa amat dihargai dan berterima kasih kerana kepadanya sekurang-kurangnya saya jimat dan tidak perlu membayar harga biasa RM30 pada hari ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat