UMNO Cheras desak tindakan tegas hina Agong guna manipulasi AI

KUALA LUMPUR, – UMNO Bahagian Cheras menggesa tindakan undang-undang tegas diambil terhadap individu yang didakwa memuat naik kandungan berunsur penghinaan melampau terhadap Sultan Ibrahim menerusi manipulasi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Mahadi Abdul Shukor berkata, satu laporan polis telah dibuat susulan penularan video dan hantaran di platform TikTok daripada akaun samaran “Sultan Ibrahim Ismail @jjbnxxnobgr” pada 20 Mei lalu.

Menurut beliau, kandungan berkenaan didakwa telah memanipulasi imej, suara dan kelibat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan menyebarkan kenyataan palsu serta menyentuh sensitiviti agama Islam.

“Perbuatan melampau ini bukan sahaja satu penghinaan berat terhadap Institusi Beraja, malah merupakan provokasi jahat yang boleh menjejaskan keharmonian kaum, kestabilan negara dan ketenteraman awam.

“Sebagai Ketua Utama Negara dan Ketua Agama Islam, kedaulatan Baginda wajib dihormati dan dipelihara oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun semakan mendapati kandungan tersebut telah dipadamkan, Mahadi menegaskan tindakan undang-undang tidak boleh dihentikan begitu sahaja kerana bukti seperti tangkapan layar dan rakaman video telah pun diserahkan kepada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, UMNO Bahagian Cheras menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak segera bagi mengesan serta menahan individu yang bertanggungjawab.

Mereka turut menuntut agar tindakan tegas diambil di bawah Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

UMNO Bahagian Cheras menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencabar Institusi Beraja dan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, sambil menyifatkan tindakan tegas tanpa kompromi sebagai langkah penting bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat