Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Hari Istimewa Sains (HIS) didedikasikan khas untuk menggalakkan penglibatan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam aktiviti pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melalui pendekatan yang santai dan menyeronokkan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.
HIS adalah program khidmat sosial tahunan Pusat Sains Negara (PSN) Kuala Lumpur merupakan satu ruang istimewa untuk semua pengunjung bersosial dan menyantuni anak-anak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Hari Istimewa Sains (HIS) 2026 di PSN, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) MOSTI, Dato’ Ruziah Shafie; Pengarah PSN, Dr. Norzilawati Md. Kamsor; dan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Megat Affandi Datuk Wira Hj. Ismail.
Lih Kang berkata pelaksanaan program ini merupakan satu terjemahan sokongan MOSTI terhadap dasar OKU bagi menjamin hak dan ruang yang saksama kepada golongan OKU untuk terus menerima pendidikan sepanjang hayat dalam bidang STI tanpa ada yang terpinggir.
“HIS amat signifikan dan seiring dengan aspirasi Minggu Sains Negara (MSN) 2026 yang menyasarkan 1.15 juta penyertaan, mencerminkan komitmen kementerian untuk memperluas pendedahan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada segenap lapisan masyarakat, ”katanya.
Katanya lagi, sejajar dengan fokus MSN 2026 yang memberi penekanan kepada pengalaman pembelajaran secara hands-on, program pada hari ini juga membawakan konsep bermain sambil belajar atau dikenali experiential learning melalui eksplorasi deria bagi memastikan faedah inovasi dapat dikongsi secara inklusif kepada semua anak-anak Malaysia.
“Semua peserta diharap dapat menimba ilmu yang bermanfaat dan mencipta memori yang menarik di PSN serta apa yang diperolehi sepanjang program ini akan dapat memberi inspirasi, seterusnya mengaplikasikan ilmu Sains dalam kehidupan seharian dan membangun bakat anak-anak Malaysia dalam bidang STI, ”ujarnya.
Bertemakan ‘Inspirasi Impian Spektrum’ HIS mengetengahkan pendekatan bermain sambil belajar dalam bidang STEM melalui pengalaman sensori yang merangkumi deria penglihatan, sentuhan, bau, rasa dan pendengaran.
Penganjuran inisiatif ini selari dengan teras daya cipta dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani serta peranan PSN dalam memastikan penyampaian ilmu STI dapat diakses secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat.
Kumpulan sasar program ini melibatkan pelbagai kategori OKU termasuk kurang upaya pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental sertapelbagai ketidakupayaan lain.
Selain itu, program ini turut melibatkan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), komuniti asnaf, anak yatim serta orang awam.
Sepanjang penganjurannya para peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk eksplorasi Sains dan Teknologi, demonstrasi sains secara
langsung, persembahan khas, bengkel permainan sensori serta aktiviti kreatif serta praktikal yang dirangka khusus bagi memenuhi keperluan komuniti sasaran.-SUARA.TV



