Kawalan keselamatan peringkat tinggi dilaksana susulan kehadiran ramai pemimpin GCC- China

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kehadiran ramai pemimpin dari negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta China antara sebab kawalan keselamatan peringkat tinggi perlu dilaksana khususnya di sekitar ibu negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu mendorong beberapa laluan terpaksa ditutup oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain 71 sekolah turut dibenar melaksana Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau akui wujud keluhan daripada kalangan ibu bapa mengenai hal penutupan itu, justeru majikan khususnya syarikat swasta adalah disaran untuk mengambil inisiatif sama dengan membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah.

“Saya mohon terutama syarikat swasta turut memberikan peluang kepada pekerja mereka untuk bekerja dari rumah. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah menyatakan agar syarikat swasta juga membenarkan pekerja mereka kerja dri rumah.

“Ini bukan peluang yang datang selalu. Sekretariat (Sidang Kemuncak ASEAN) dan Kementerian Luar tidak mudah untuk meyakinkan pemimpin negara ini (GCC dan China), selain usaha kita (sebagai Pengerusi ASEAN untuk mengukuhkan hubungan negara anggota,” katanya pada sidang media pada Rabu.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan meninjau persiapan Pusat Media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula minggu ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, penganjuran kali ini juga berbeza dengan 10 tahun lalu, khususnya dari segi penyertaan pemimpin utama negara-negara ini.

“Pada waktu itu mereka (GCC) belum aktif dengan ASEAN. Pada masa itu, kita ada sidang hanya dengan China saja. Itu yang membezakan sidang kemuncak kali ini dan sebelumnya,” katanya.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan 71 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor diberi kebenaran untuk melaksanakan PdPR pada 26 hingga 28 Mei ini bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.

KPM menasihati ibu bapa, penjaga, murid, guru dan warga sekolah terbabit untuk merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan PdPR.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di KLCC, menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu, bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi, selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat