KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Johor kurang senang dengan asakan tergesa-gesa Amanah yang sering mempersoalkan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di Johor.
Ketua Umno Bahagian Sri Gading Datuk Mohd Lassim Burhan mengingatkan, sekiranya Amanah terus mendesak tanpa rasa segan, Umno-BN pula akan mula merayu kepada pucuk pimpinan agar bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen di Johor.
“Acapkali pimpinan PH terutamanya PAN Johor menggunakan media secara terbuka di dalam mempersoal kerjasama antara BN dan PH di Johor.
“Walhal mereka sedia maklum bahawa Kerajaan Johor secara jelas dipimpin oleh Umno dan BN, bukan Kerajaan Perpaduan.
“Kegopohan apakah ini? Sehinggakan tidak lagi rasional tentang tarikh pilihan raya yang masih jauh bertahun lagi.
“Sebaiknya teruslah belajar membuat bakti dan bukan hanya bertanya tentang baki kerusi wahai Amanah,” gesa Lassim.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad.
Ini susulan Amanah Johor mendesak BN menyatakan pendirian sama ada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) akan melibatkan pertandingan dua penjuru atau tiga penjuru di negeri ini.
Dzulkefly sebelum itu dilaporkan berkata, penjelasan itu penting bagi membolehkan PH Johor menentukan hala tuju strategik dalam menghadapi PRN akan datang.
Menurutnya, beberapa kenyataan daripada pimpinan Umno sebelum ini menunjukkan BN tidak bersedia untuk berunding dengan PH Johor, meskipun kedua-dua parti membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.
Justeru Lassim mengingatkan, sebagai pimpinan tertinggi parti sepatutnya mereka sangat faham kaedah perundingan dan waktu yang tepat untuk membuat perundingan.
“Jika sangat berhasrat dan bercita-cita besar, adalah dipersilakan pihak tuan membuat pengumuman terlebih dahulu bahawa pihak tuan ingin bersendirian di PRN-16 nanti.
“Dalam usaha Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kerajaan negeri sedang bergerak pantas merealisasikan impian bagi menjadikan negeri dan rakyat bertambah sejahtera, suara-suara seperti ini terus berkumandang seolah-olah ingin menghalang fokus dan cuba merosakkan imej serta mencalar kewibawaan Menteri Besar.
“Sebagai rakyat kita melihat kesungguhan kerajaan negeri mengukuh ekonomi, memepertingkatkan kualiti fasiliti awam, memperjuangkan rumah yang lebih kondusif untuk rakyat, subsidi jualan Kasih Johor untuk mengimbangi kos sara hidup, menarik pelabur bagi membuka peluang pekerjaan dan banyak lagi usaha yang sedang giat berjalan.
“Jika kamu terus mendesak tanpa rasa segan, kami pula akan mula merayu kepada pucuk pimpinan agar bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen di Johor. Untuk rekod selama ini Umno dan BN bertanding di semua DUN dan Parlimen di Johor kecuali di Pulai dan Simpang Jeram atas rasa ingin membantu PH.
“Adakah itu tidak dirasakan membantu dan menghormati hubungan?. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.Sabar dulu,” ujarnya.