KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Bersatu Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal merujuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat kerana didakwa mengelirukan Dewan berhubung penjualan pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat asing.
Beliau malah turut mendakwa Anthony mengeluarkan kenyataan ‘bersangka jahat’ apabila beliau (Wan Ahmad Fayhsal) membangkitkan isu itu.
“Terbukti perjuangan saya benar!” kata Wan Ahmad Fayhsal dalam hantaran di X, merujuk kepada laporan bahawa Khazanah Nasional dan KWSP mengesahkan rancangan mereka untuk mengambil alih MAHB melalui konsortium dan menswastakan pengendali lapangan terbang itu.
“Demi Malaysia dan Palestin saya telah merujuk Ahli Parlimen Seremban merangkap Setiausaha Agung DAP ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat kerana mengelirukan Dewan dan mengeluarkan kenyataan bersangka jahat bilamana saya telah beri teguran dan amaran pada bulan Mac lalu untuk hentikan penjualan saham MAHB dan melindungi aset strategik negara daripada dikuasai entiti pro-Zionis.
” Terbukti perjuangan saya benar! Hanya puak pentaksub DAP-PH yang menafikan! Perdana Menteri perlu berani batalkan penjualan ini demi Malaysia dan Palestin,” katanya di Facebook.
Pada Mac, Anthony memberitahu Dewan Rakyat, dakwaan Wan Ahmad Fayhsal mengenai pegangan dalam MAHB dijual kepada Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat milik penuh BlackRock, ialah “andaian semata-mata”.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, kenyataan Anthony itu menggambarkan dirinya membuat ‘tuduhan secara melulu tanpa asas pengetahuan’ dan ‘memutar belit’ perkara yang dibangkitkan.
Minggu lepas, Khazanah dilaporkan akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus kepada 40 peratus, dan KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus.
Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus pegangan dalam MAHB.
Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan GIP akan memegang baki 30 peratus.
Pada Januari, BlackRock yang berpangkalan di New York City, salah satu syarikat pengurusan aset terbesar di dunia yang memegang saham dalam beberapa perusahaan industri pertahanan, bersetuju memperoleh GIP.
Mengkritik perolehan itu, pihak pembangkang menuduh BlackRock memiliki pegangan dalam syarikat mengeluarkan senjata yang membolehkan Israel meneruskan genosid terhadap warga Palestin.
Pada Jumaat, Anthony menegaskan beliau berpegang dengan kenyataannya dan tidak mengelirukan Dewan Rakyat, dan Wan Ahmad Fayhsal mempunyai maklumat yang salah.
“Beliau kata kita jual, mana ada jual. Khazanah tidak menjual MAHB … (malah) meningkatkan lagi pegangan dalam MAHB,” katanya.