Kereta Bawa Mercun Bola Meletup, Seorang Pengguna Jalan Raya Terbunuh

- Advertisement -

KOTA BHARU – Seorang lelaki maut selepas sebuah kereta lain yang membawa muatan mercun bola meletup ketika berada di Simpang Empat, Kampung Sireh di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5.55 petang, mangsa, Wan Hassan Wan Ali, 48, maut di lokasi kejadian selepas mangsa tercampak kira-kira 20 meter dari kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandunya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, letupan itu turut menyebabkan empat lagi kereta terbakar dalam kejadian tersebut.

Katanya, selain mangsa, empat orang mangsa termasuk seorang anggota polis turut mengalami kecederaan parah, namun keadaan mereka stabil.

“Siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Proton Saga yang membawa muatan mercun bola dengan kuantiti yang banyak dipercayai tiba-tiba meletup.

“Kereta tersebut berada di belakang kereta yang dipandu mangsa. Pemandu dan penumpang kereta yang meletup itu sempat menyelamatkan diri ketika letupan berlaku, namun Wan Hassan gagal berbuat demikian.

“Kesan daripada letupan mercun bola di dalam kereta itu, lima buah kereta terbakar serta-merta. Pemerhatian turut mendapati, kebanyakan kereta mengalami kerosakan teruk manakala kereta yang membawa muatan mercun bola itu pula putus dua,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian semalam.

Menurut Shafien, empat orang mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan lanjut.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Bagaimanapun, Shafien enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan kereta membawa muatan mercun itu dipanah petir sebelum meletup. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat