KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menggesa supaya tidak ada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan mengelirukan berkaitan keutamaan menunaikan tanggungjawab untuk mengundi berbanding mengerjakan ibadah haji.
Beliau meminta supaya pihak terbabit mementingkan ilmu dan adab dalam membuat kenyataan berkaitan hal-hal agama.
Justeru, Na’im mengingatkan semua pihak agar tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan hukum secara individu tanpa merujuk kepada pihak berautoriti seperti para mufti.
Menurut beliau, hukum agama adalah perkara yang memerlukan penelitian mendalam, kefahaman menyeluruh serta disiplin ilmu yang tinggi.
“Adalah amat penting untuk kita menjaga ketertiban masyarakat dan tidak mencetuskan kekeliruan yang boleh mengganggu keharmonian, apatah lagi apabila ia melibatkan ibadah yang merupakan rukun Islam serta proses demokrasi yang penting bagi negara.
“Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada pihak Mufti serta institusi berwibawa untuk memberikan pandangan dan penjelasan berdasarkan hukum syarak dan konteks semasa.
“Marilah kita mengutamakan ilmu dan adab dalam membincangkan isu-isu agama, serta sentiasa merujuk kepada saluran yang betul demi menjaga kesucian Islam dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.