Kenyataan Hadi cenderung takfiri, pihak berkuasa Agama wajar ambil tindakan segera – Mujahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa agama digesa mengambil tindakan tegas terhadap Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang meminta pengundi menunda ibadah haji dan umrah bagi tujuan memenangkan perjuangan Islam pada pilihan raya.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kesesatan dan kecelaruan fatwa politik itu perlu ditangani berikutan ia memberi beberapa implikasi percanggahan dengan hukum syariat dan maslahat ummah.

Mujahid yakin kenyataan Hadi yang meminta haji dan umrah ditunda bagi memenangkan perjuangan Islam, jelas merujuk kepada pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ayer Kuning.

“Hadi menyifatkan kemenangan calon Pas sebagai kemenangan untuk Islam sedangkan pertarungan demokrasi ini adalah untuk memilih parti mana yang lebih mampu menawarkan khidmat kepada rakyat dan bukan pertarungan antara Islam dan yang anti-Islam.

“Kenyataan ini cenderung membawa kepada ciri takfiri yang menganggap partinya sahaja yang mewakili Islam manakala pihak yang lain tidak Islam. Walhal kedua-dua calon adalah daripada individu Muslim yang mewakili parti masing-masing.

“Kenyataan ini mengheret isu politik kepada isu akidah walhal kedua-duanya jelas mempunyai premis hukum yang berbeza,” katanya melalui kenyataan, pada Isnin.

Melalui majlis kempen calon Perikatan Nasional (PN) untuk PRK Dun Ayer Kuning di Tanjung Keramat, Perak, kelmarin, Hadi menggesa umat Islam supaya mengutamakan kemenangan dalam landskap politik negara, termasuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji.

Hadi dilaporkan berkata, ibadat haji dan umrah boleh ditangguh, namun kemenangan politik tidak boleh ditangguh.

Pada masa sama, Mujahid berkata, soal melaksanakan haji adalah tuntutan rukun Islam kelima dan urusan untuk mendapat kelulusan menunaikan ibadah itu bukanlah mudah malah bakal haji kini terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapat tempat menerusi sistem kuota serta giliran menunggu.

“Bayangkan Hadi meletakkan proses demokrasi mengundi lebih utama berbanding haji iaitu ibadah khusus yang kini semakin sukar untuk mendapat kelulusan kuota dan pelbagai syarat yang semakin ketat.

“Komentar pentaksub akan mengiyakan segala kenyataan Presiden Pas ini, sekali gus membahayakan kesatuan umat yang terdorong kepada ketaksuban ketimbang ilmu dan kefahaman Siyasah Syar’iyah,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat