KUALA LUMPUR – Kerajaan Kedah menolak pengiraan nilai pampasan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM41 juta bagi mengekalkan kawasan sawah padi, sebaliknya terus menuntut bayaran sebanyak RM200 juta.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah pampasan yang dicadangkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) menerusi sistem Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN) adalah terlalu rendah dan tidak setimpal dengan pengorbanan negeri itu.
Menurutnya, nilai insentif yang dikemukakan KAGUMN tidak mengambil kira sepenuhnya kerugian yang ditanggung negeri itu kerana mengekalkan status tanah sawah padi.
“Berdasarkan sistem tersebut, keseluruhan kawasan jelapang padi dan luar jelapang di Kedah hanya wajar diberikan insentif khas RM41 juta, nilai itu terlalu rendah.
“Sehingga kini pemohonan Kedah sebanyak RM200 juta masih dalam peringkat pertimbangan kerajaan Persekutuan, walaupun beberapa siri libat urus telah dilakukan.
“Diharap kerajaan Persekutuan dapat pertimbangkan permohonan kita dan dimuktamadkan segera untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan pembangunan negeri ini,” katanya ketika menjawab soalan lisan Hanif Ghazali (Pas-Tanjung Dawai) berkaitan perkembangan tuntutan tersebut dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Alor Setar pada Isnin.
Sanusi berkata, kerajaan negeri menyarankan agar penilaian insentif dinaikkan sekiranya kerajaan Persekutuan masih mahu menggunakan sistem KAGUMN.
“Jika mengambil kira nilai insentif KAGUMN, 0.1 peratus sebagai pemboleh ubah daripada nilai insentif setiap hektar tanah ditanam padi, yang mana satu hektar tanah nilainya RM400,000.
“Kita minta 0.38 peratus berbanding 0.1 peratus yang digunakan. Dengan angkubah 0.38 peratus ini, anggaran RM157 juta. Ini bermakna tuntutan RM200 juta kepada Persekutuan adalah munasabah, bukan keterlaluan dan ada asasnya,” lapor Sinar Harian.
Tambah beliau, penghargaan setimpal wajar diberikan kepada Kedah atas pengorbanan besar yang dibuat sejak sekian lama.
“Antara hujah saya sebelum ini, jika ditukar keseluruhan tanah padi kepada kawasan komersial kita akan perolehi cukai tanah RM1.7 bilion setahun.
“Daripada keseluruhan 220,000 hektar tanah bersyarat padi di Kedah, kutipan cukai tanah hanya RM2.6 juta. Jika kita kutip cukai untuk kawasan industri sekitar 10 hektar pun sudah cecah RM2.6 juta.
“Tetapi kita simpan 220,000 hektar itu dan hanya dapat RM2.6 juta, itulah kehilangan kita tanggung berpuluh-puluh tahun. Pengorbanan ini menyebabkan kita tanggung kos melepas. Inilah sebab kita terus buat tuntutan tanpa henti,” tegasnya.
Muhammad Sanusi berkata, sebagai jelapang padi negara, Kedah bukan sahaja mengorbankan kawasan luas untuk sawah padi tetapi juga mengekalkan hutan sebagai kawasan tadahan dan sumber bekalan air.
“Kehilangan hasil cukai tanah yang dikekalkan untuk kawasan padi begitu besar. Sekitar 5,000 hektar tanah termasuk dalam rancangan tempatan daerah yang boleh dibangunkan projek lain sama ada perumahan, industri, komersial yang boleh mengubah nilai cukai tanah itu.
“Daripada keseluruhan kawasan yang termasuk dalam rancangan tersebut, jika kita ubah syarat tanah itu, kita boleh kutip cukai sewa tanah, cukai ubah jenis kegunaan tanah, cukai taksiran, caj pemajuan, caj sumber air mentah yang dianggarkan RM116 juta,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa Kedah kekal komited mempertahankan kawasan sawah padi dan masih berpegang kepada semangat rundingan.
“Setiap permohonan disertakan dengan alasan munasabah dan masuk akal. Kita bukan nak duit percuma.
“Mungkin kekangan fiskal negara tidak mengizinkan kerajaan Persekutuan beri komitmen kewangan sebesar itu.
“Dengan RM430 bilion bajet tahunan negara, untuk beri RM200 juta kepada Kedah bagi mengekalkan kawasan tanaman padi harus diberikan keutamaan. Ia lebih penting berbanding kawasan industri kerana kita hasilkan makanan kepada negara,” katanya.