Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh petugas media yang bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Zahidi ketika ditemui SuaraTV berkata demikian bagi menghargai jasa dan pengorbanan petugas media sebagai kumpulan barisan hadapan yang komited menjalankan tugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kepada semua petugas media, terutamanya kepada mereka yang terlibat dalam memberikan maklumat kepada rakyat (sepanjang PKP) saya ucapkan terima kasih.
“Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik tuan-tuan dan puan-puan semua,” katanya sebentar tadi.
Zahidi turut merakamkan ucapan penghargaaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana memberikan respon segera terhadap rungutan serta keluhan segelintir petugas media yang terpaksa berdepan dalam sekatan jalan raya ketika menjalankan tugas.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada PDRM kerana memberi kelonggaran kepada petugas media melalui laluan khas.
“Ini kerana para petugas media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia adalah sebahagian daripada kumpulan essential,” katanya lagi.
Sabtu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias memberi jaminan masalah terpencil yang melibatkan petugas media sebelum ini tidak akan berlaku lagi.
“Anda semua (petugas media) boleh gunakan laluan khas, tidak perlukan dokumen tunjuk sahaja pas media kamu. Tidak (akan) ada masalah,” katanya sebelum ini.
Seterusnya, Ahli Parlimen Padang Besar itu turut menyeru agar semua pihak tanpa mengira kaum dan agama terus berganding bahu bersama pihak kerajaan bagi memerangi pandemik ini.
“Data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan semalam menunjukan penurunan dan mencatat sejarah apabila tiada sebarang kematian yang dicatatkan.
“Ini membuktikan kerjasama yang baik antara kerajaan dan rakyat dalam menentang Covid-19 ini telah berjaya.
“Maka saya menyeru seluruh rakyat agar terus beri kerjasama dengan kekal di rumah, Insyallah usaha ini pasti berjaya,” ujarnya lagi. – SuaraTV