KUALA LUMPUR — Buat julung kalinya Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah menerima anugerah pengiktirafan iaitu ‘Excellence Award’ di dalam kategori Organisasi Bukan Berkeuntungan di Majlis Malaysia National Business Awards 2025, semalam.
Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin berkata pengiktirafan yang diterima oleh YBR ini adalah inisiatif yang dijalankan dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat melalui pendidikan dan program kemasyarakatan yang dijalankan bagi membantu mereka yang kurang bernasib.
“Anugerah ini adalah antara pencapaian-pencapaian tertinggi yang diterima di sepanjang penubuhan Yayasan Bank Rakyat, dalam memupuk pembangunan sosioekonomi jangka panjang serta juga merangka program-program khas bagi membantu masyarakat Malaysia yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Menurut Khairul, sepanjang tahun 2024, YBR telah membelanjakan sebanyak RM41 juta untuk penajaan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada 424 pelajar Institut Pengajian Tinggi serta pelaksanaan sebanyak 933 inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara yang telah memberi manfaat kepada 185,000 penerima.
“Pengiktirafan ini merupakan bukti dedikasi YBR dalam memperkasakan masyarakat Malaysia serta kekal komited berbakti dalam membantu memacu negara ke peringkat seterusnya”. “Kami akan terus berusaha dalam menyokong kemajuan pendidikan dan kebajikan masyarakat melalui pendidikan,” katanya.