Dalam kehangatan Syawal yang dinanti-nantikan, Resorts World Genting (RWG) mengangkat pengalaman perayaan ke tahap luar biasa dengan gabungan budaya, kreativiti dan hiburan bertaraf dunia. Dari 21 Mac hingga 20 April 2025, resort ini menjanjikan satu pengalaman yang bukan sahaja meriah tetapi juga memperkayakan pemahaman tentang warisan Melayu melalui elemen seni dan tradisi.
Batik, sebagai warisan seni Melayu yang kaya, menjadi inspirasi utama dekorasi di RWG. Atrium Kimhua dihiasi dengan motif batik yang indah, dari lampu-lampu berkonsepkan bulan sabit hingga ke gerbang batik berwarna-warni. Unsur bunga, rama-rama, wau tradisional serta bunga raya dalam rekaan besar membangkitkan nostalgia dan rasa bangga terhadap seni warisan tempatan. Bagi peminat fotografi, enam gerai foto bertemakan budaya Melayu di lokasi ini menyediakan latar belakang yang sempurna untuk mengabadikan kenangan Syawal.
Keletah maskot-maskot Genting Highlands dalam persalinan Hari Raya menjadi salah satu tarikan istimewa. Mereka akan menghiburkan pengunjung di Atrium Kimhua dan Taman Tema Dalaman Skytropolis dalam sesi khas setiap hari. Pengunjung berpeluang untuk berinteraksi dan bergambar bersama mereka, mencipta kenangan manis yang pasti dikenang.
Tidak lengkap sebuah perayaan tanpa alunan muzik dan gerak tari yang mengasyikkan. RWG membawakan persembahan Tarian Raya Tradisional dari 29 Mac hingga 13 April di Atrium Kimhua serta di Skytropolis setiap hari hingga 20 April. Dengan kostum batik yang anggun dan pergerakan bertenaga, penari-penari ini menggamit suasana kegembiraan yang menghidupkan semangat perayaan.
RWG turut menyediakan ruang untuk para pengunjung meluahkan kreativiti mereka melalui aktiviti seni pasir dan lukisan batik. Aktiviti percuma ini membolehkan pengunjung, khususnya kanak-kanak, merasai sendiri keunikan seni Melayu dalam suasana yang santai dan menyeronokkan. Dari jam 10 pagi hingga 10 malam, semua peringkat umur boleh menikmati pengalaman ini di Atrium Kimhua.
Salah satu aktiviti unik di RWG kali ini ialah permainan “Tangkap Ketupat” yang diadakan di Pusat Beli-belah SkyAvenue. Dengan setiap perbelanjaan RM300 bagi ahli Kad Ganjaran Genting (GRC) atau RM350 bagi bukan ahli dalam dua resit, pengunjung layak menyertai permainan ini dan berpeluang membawa pulang hadiah eksklusif termasuk baucar tunai, lilin edisi terhad Raya, buku nota batik dan banyak lagi.
Untuk mengakhiri pengalaman Raya dengan keselesaan, Resorts World Awana menawarkan penginapan di Bilik Superior Deluxe dari RM202 bagi tempahan sebelum 31 Mac. Bagi yang datang berkeluarga, Bilik Super Deluxe Sixers yang luas boleh ditempah pada harga RM342 untuk ahli GRC dan RM380 untuk bukan ahli. Bagi pengunjung yang ingin lebih dekat dengan keriangan taman tema, hotel Taman Tema Genting SkyWorlds menawarkan diskaun sehingga 70% untuk tempahan awal.
Dengan pelbagai aktiviti menarik, hiasan yang memukau dan tawaran penginapan yang berbaloi, perayaan Hari Raya di Resorts World Genting pastinya akan menjadi pengalaman yang sukar dilupakan. Untuk maklumat lanjut, layari rwgenting.com dan rancang percutian Syawal anda hari ini!