KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempertimbangkan harga lantai getah beku dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram.
Menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob golongan penoreh getah di kampung-kampung pada masa kini terjejas teruk kerana kejatuhan harga komoditi itu.
“Sudah sampai masanya Kerajaan mempertimbangkan harga lantai getah beku dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram.
“Langkah ini untuk mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh kira-kira 320,000 pekebun kecil getah di seluruh negara disebabkan kenaikan kos sara hidup.
“Saya juga mahu tahu apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan harga getah beku,” katanya ketika perbahasan menyokong Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.
Kerajaan terdahulu katanya telah memperkenalkan penggunaan getah beku yang dicampur bitumen atau dikenali sebagai Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB) bagi kegunaan menurap jalan kampung di seluruh negara.
“Malah sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2019 untuk pembangunan teknologi CMB dan 59 lokasi telah mendapat manfaat dengan pembinaan turapan jalan Cuplump Modified Asphalt (CMA) melibatkan jalan sepanjang 202.68 km.
“Saya difahamkan hanya 0.08 peratus daripada jumlah semasa pengeluaran getah negara digunakan dalam penurapan jalan menggunakan teknologi (CMB) pada 2019.
“Jadi, apakah status pelaksanaan program ini kerana ia terbukti mampu meningkatkan penggunaan getah yang secara tidak langsung akan membantu menambah pendapatan pekebun kecil,” ujar Ahli Parlimen Bera itu lagi.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri bersyukur apabila ekonomi Malaysia telah kembali pulih kepada pra pandemik.
Jelasnya, Bank Negara telah mengumumkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh 22 tahun apabila berkembang pantas 8.7 peratus pada tahun lalu.
“Pencapaian terbaik di Rantau Asia Tenggara. Semua sektor telah mencatatkan pertumbuhan kecuali sektor pertanian yang hanya mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.1 peratus.
“Kerajaan perlu memberikan perhatian kepada sektor ini kerana ia memberikan implikasi yang besar kepada kos sara hidup,” saran beliau.
Ismail Sabri berkata, prestasi perdagangan Malaysia pada 2022 melebihi RM2 trilion dan ia adalah pertumbuhan terpantas sejak 1994.
“Semua ini kerana dasar-dasar yang dilaksanakan telah berjaya memacu kembali sektor perniagaan dan meyakinkan pelabur untuk terus datang ke negara kita.
“Bagaimanapun soal kos sara hidup masih menjadi isu utama yang perlu diberikan perhatian yang serius oleh Dewan Rakyat ini dan pihak kerajaan,” tegas beliau.
Kata Ismail Sabri lagi, harga barang terus meningkat.
Malah katanya jika dahulu harga saja yang naik tetapi kini, ada barang tidak ada terus di pasaran.
“Menurut kajian yang dilaksanakan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI, hampir sembilan daripada 10 rakyat Malaysia bimbang tentang kos sara hidup, dengan lebih 60 peratus.
“Justeru, rakyat mahu tahu dengan jelas apakah dasar jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang dilaksanakan kerajaan untuk memastikan peningkatan kos sara hidup dapat dibendung,” kata Ismail Sabri.