Cyberjaya, 20 Disember 2025 — IDRISSI International School menganjurkan “Heal The World” Fun Run di kampus baharu Bukit Jelutong sebagai sebahagian sambutan ulang tahun sekolah yang ke-10. Acara ini dihadiri lebih 1,000 peserta, termasuk pelajar, guru, ibu bapa, dan komuniti setempat, yang menyertai larian sejauh 3km dan 5km sambil menimba pengalaman pembelajaran mengenai alam sekitar.
Acara ini membawa pendekatan unik di mana peserta melalui enam titik (checkpoint) yang bertemakan alam sekitar: “Save our Forest,” “Save our River,” “Save our Ice,” “Save our Mountain,” “Save our Animals,” dan “Save our Coral Reefs.” Setiap checkpoint menawarkan pengalaman interaktif, fakta alam sekitar, dan mesej pendidikan yang mengaitkan nilai Islam dengan tanggungjawab menjaga bumi. Misalnya, di stesen “Save the River,” peserta dibawa melihat perbezaan antara sungai tercemar dan bersih, memberi pengalaman nyata tentang kepentingan kelestarian air.

Puan Zaliza Alias, Pengasas dan Pengarah Eksekutif IDRISSI, menekankan bahawa Fun Run ini bukan sekadar aktiviti fizikal. “Ia adalah platform untuk mendidik pelajar dan komuniti tentang peranan kita sebagai khalifah di bumi. Setiap checkpoint memberi pengalaman langsung (experiential learning) dan mengaitkan nilai Islam dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Satu elemen simbolik yang menonjol dalam acara ini ialah menyemai pokok ini bersama. Puan Zaliza menjelaskan, “Pokok ini bukan sekadar tumbuhan. Ia membawa nilai seperti kejujuran dan kesyukuran. Dalam pendidikan anak-anak, kita menyemai pokok ini bersama guru, murid, ibu bapa, dan pihak pengurusan dengan menyiram secara kolektif. Ia simbol bahawa penjagaan alam dan pembelajaran memerlukan kerjasama semua pihak.

Anak-anak belajar bahawa untuk memelihara bumi dan membina sahsiah, kita perlu menyemai bersama dengan alam dan antara satu sama lain.” Simbolik ini juga mencerminkan perjalanan 10 tahun IDRISSI, di mana kampus baru masih dalam proses berkembang dan menghijau, manakala kampus lama di Setia Alam sudah seperti “kampung mini” dengan pelbagai tumbuhan dan haiwan, menekankan kepentingan alam dalam pembelajaran dan kehidupan harian.
Nama sekolah, IDRISSI, diambil sempena ilmuwan Islam terkenal, Al-Idrisi, yang terkenal dengan lukisan peta dunia pada abad ke-12. Pemilihan nama ini mencerminkan aspirasi sekolah untuk memupuk pelajar yang berilmu, berfikiran global, dan berprinsip, selaras dengan nilai Islam dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
IDRISSI, sebagai sekolah eko-Islamik pertama di Malaysia, menekankan pendidikan yang menggabungkan akademik, nilai Islam, pembangunan sahsiah, dan kesedaran sosial. Puan Zaliza menjelaskan bahawa sekolah ini bukan sekadar mengikut kurikulum antarabangsa Cambridge, tetapi turut menambah nilai dan kandungan yang relevan dengan masyarakat dan alam sekitar. “Kami mahu pelajar memahami konteks pembelajaran mereka, bukan sekadar buku teks. Pendidikan di IDRISSI mengajar mereka menjadi insan yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap komuniti dan alam,” katanya.
Dalam perjalanan 10 tahun sejak penubuhan di Setia Alam pada 2015, diikuti Johor Bahru dan kini Bukit Jelutong, IDRISSI menghadapi pelbagai cabaran, termasuk pandemik COVID-19. Puan Zaliza berkongsi bahawa walaupun sekolah lain menutup kelas, IDRISSI memastikan tiada pelajar yang terlepas pembelajaran, dengan kelas diadakan secara dalam talian sepenuhnya mengikut jadual sebenar. Beliau menekankan bahawa cabaran ini memberi peluang kepada guru dan pelajar untuk belajar menyelesaikan masalah dan menyesuaikan diri dengan keadaan, sambil mengekalkan nilai pendidikan yang konsisten.
Selain itu, IDRISSI kini mengembangkan pendidikan inklusif, menyediakan sokongan tambahan untuk pelajar dengan keperluan khas tanpa mengasingkan mereka daripada rakan sekelas. “Kami percaya generasi masa depan perlu hidup bersama dan saling menghargai. Pendidikan inklusif di sini mengajar pelajar menerima perbezaan dan bekerjasama,” jelas Puan Zaliza.

Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group, Puan Julie Wong, menyatakan bahawa acara ini menzahirkan komitmen IDRISSI terhadap pendidikan dan alam sekitar. “Persekitaran sekolah dilengkapi taman dan ladang mini haiwan, membolehkan pelajar membina hubungan dengan alam semula jadi. Fun Run ini memberi peluang untuk komuniti lebih luas turut merasai pengalaman ini,” katanya.
Selain aktiviti Fun Run, sekolah kini menumpukan usaha ke arah pelaksanaan piawaian ISO dan inisiatif ESG (Environmental, Social, Governance), mengukuhkan komitmen jangka panjang terhadap tadbir urus yang baik dan kelestarian alam sekitar.
Puan Zaliza menutup temubual dengan mengingatkan bahawa kejayaan pendidikan bukan hanya diukur melalui keputusan akademik, tetapi melalui pelajar yang aktif, berakhlak, dan mampu menyumbang kepada masyarakat dan alam sekitar. “Simbol pokok dalam acara ini mengingatkan kita bahawa setiap usaha kecil untuk menjaga alam akan membuahkan hasil. Ia adalah mesej yang kami ingin tanam dalam diri setiap pelajar dan komuniti,” katanya.
Dengan pendekatan kreatif yang menggabungkan pendidikan, nilai Islam, kesedaran sosial, dan simbolik alam sekitar, “Heal The World” Fun Run bukan sekadar sambutan ulang tahun, tetapi satu pengalaman yang mendidik dan menginspirasi seluruh komuniti untuk lebih prihatin terhadap bumi.



