KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong tindakan Kerajaan Malaysia sekat Syarikat perkapalan Israel ZIM dari berlabuh di pelabuhan Malaysia.
Bekas Perdana Menteri itu menyatakan sokongan berkenaan kerana tindakan melampau dan tiada perikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin perlu dikeji dan apa-apa tindakan protes yang boleh dilakukan harus diambil.
Dr Mahathir bagaimanapun menjelaskan, kerajaan pada tahun 2002 membenarkan ZIM berlabuh kerana ketika itu Malaysia masih menaruh harapan kepada usaha damai antara Palestin dan Israel.
“Kerajaan ketika itu pernah membenar pasukan kriket Israel dengan harapan rakyatnya dapat melihat bahawa penduduk Malaysia yang majoriti beragama Islam boleh hidup bersama rakyat beragama lain.
“Malangnya segala usaha itu jelas sia-sia kerana Israel selepas itu terus memperlihat sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin,” katanya.
Bukan cuma itu, Dr Mahathir memaklumkan laluan kepada ZIM juga sekadar kebenaran kepada perjalanan sesebuah kapal tanpa memperlihat sebarang sokongan kepada regim Israel dan tindakannya membunuh rakyat Palestin.
“Ini berbeza dengan menjadi ahli dan penyokong pertubuhan pro-Zionist yang jelas mendokong cita-cita Israel melakukan penghapusan etnik orang Palestin menerusi genocide dan pembunuhan besar-besaran,” bidas beliau.
Hari ini, Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
Perdana Menteri menegaskan, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuatkuasa serta merta.
“Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin,” tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.
Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat ini berlabuh di Malaysia.
Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia.
Namun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu, kata Anwar.