Undi usul percaya pacu kestabilan Kerajaan Perpaduan, fokus bangunkan negara – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kejayaan undi usul percaya adalah permulaan kerajaan yang stabil yang menjamin kemakmuran rakyat bersandarkan lunas demokrasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan undi usul percaya telah memberi keabsahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.

“Lunas demokrasi menyaksikan rakyat melalui wakil rakyat mereka di Dewan Rakyat telah memberikan mandat yang jelas kepada Kerajaan Perpaduan apabila usul undi percaya diluluskan dengan lebih suara bersetuju. Alhamdulillah, maka kini sudah jelas lagi tuntas akan keabsahan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

“Dengan keyakinan dan legitimasi hari ini, ia merupakan manifestasi buat semua pihak termasuklah kerajaan dan pembangkang untuk bergerak ke hadapan dan memberi seluruh tumpuan membangunkan negara,” kata Zahid dalam kenyataan, semalam.

Presiden Umno yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga menyatakan, rakyat hari ini mendambakan kerajaan yang bekerja dan berfungsi untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara. Oleh itu pastinya, isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat akan menjadi fokus utama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan ini.

Jelas beliau, pelbagai cabaran dalam urusan ekonomi dan kewangan negara pada tahun mendatang ini memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan kelangsungan kehidupan rakyat.

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, perancangan dan pelaksanaan dasar serta polisi yang mampan akan menghasilkan sebuah negara lebih maju dan sejahtera.

Justeru Zahid berkata, kestabilan politik amat penting agar rakyat Malaysia dapat bersama sederap bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan untuk membina negara ke arah yang lebih baik.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan terima kasih buat bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun atas perkhidmatan beliau selama ini.

“Tahniah juga atas pemilihan dan selamat bertugas buat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang baharu serta timbalan-timbalan beliau. Gunakan landasan ini bagi menjayakan bersama agenda pengukuhan institusi Parlimen dengan sebaiknya,” ucap Zahid.

Ahli Parlimen Tambun, Anwar mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya dibentangkan di Dewan Rakyat petang Isnin.

Usul percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum dibahaskan 12 wakil rakyat dari blok kerajaan dan pembangkang.

Usul percaya itu bertujuan membuktikan Anwar dari PH, yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu mendapat sokongan Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Berdasarkan sokongan mengikut parti, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar sekarang ialah seramai 148 orang. Ia merangkumi daripada PH 82, BN 30, GPS 23, GRS 6, Warisan 3, KDM 1, PBM 1, dan Bebas 2 kerusi.

Selebihnya iaitu 74 kerusi ialah milik PN yang juga blok pembangkang.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat