Agong Titah Mangsa Banjir Patuh Arahan Pindah Ke PPS

- Advertisement -

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah supaya mangsa banjir mendengar arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diminta berbuat demikian.

Seri Paduka turut mengingatkan rakyat khususnya penduduk di Pantai Timur supaya sentiasa berhati-hati dengan situasi semasa dan ibu bapa juga diminta memantau anak masing-masing.

“Saya ingin bagi nasihat kepada semua rakyat khusus di kawasan yang dilanda banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan ketika ini supaya berwaspada dengan keadaan musim tengkujuh ini.

“Saya juga berharap tempat ini (PPS) berada dalam keadaan bersih, tandas-tandas digunakan sebaik mungkin…jaga kebersihan semasa berada di PPS dan banyakkan bersabar,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah yang diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, sebelum itu menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Beserah di sini hari ini.

Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa bertanya khabar dan mengurniakan sumbangan peribadi, selain menyaksikan persembahan nyanyian oleh mangsa banjir kanak-kanak.

Hadir sama Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Sabariah Saidan, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Zulkhairi Zainol Abidin. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat