Fokus Banjir Kilat Dulu, Akta 342 Tangguh Pinda Sidang Akan Datang – Khairy

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa fokus utama kerajaan ialah banjir kilat sekali gus beliau menangguhkan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ke persidangan akan datang.

Sepatutnya pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dijadual dibentangkan di Parlimen hari ini namun ia ditangguhkan ke persidangan akan datang.

Khairy berkata beliau telah membincangkan mengenai akta berkenaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita perlu fokus kepada banjir kilat sekarang. Atas semangat itu, rang undang-undang akan ditangguhkan,” katanya di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat bersidang sehari tambahan hari ini bagi membahaskan pindaan Akta 342 membabitkan peningkatan kompaun bagi individu dan syarikat yang melanggar SOP COVID-19.