PRN Sabah : Masidi optimis kempen GRS, ingatkan pengundi kepentingan stabiliti

KOTA KINABALU — Momentum kempen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Keranaan terus menunjukkan perkembangan positif, menurut penyandang kawasan berkenaan Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga calon parti itu.

Beliau berkata sepanjang turun padang, sokongan masyarakat setempat kekal kukuh hasil kerja awal jentera parti yang digerakkan sebelum penamaan calon.

Bercakap kepada Suara TV, beliau berkata apa yang berlaku sepanjang tempoh kempen hari ini hanyalah kesinambungan kepada usaha yang sudah lama dilakukan.

Namun, beliau mengakui masih terlalu awal untuk membuat sebarang ramalan tepat mengenai jumlah kerusi yang berpotensi dimenangi, memandangkan peratus pengundi belum membuat keputusan (undecided voters) masih tinggi di seluruh Sabah.

“Saya tidak mahu dianggap sombong atau terlalu yakin. Jumlah pengundi yang belum memutuskan pilihan mereka masih besar. Manusia boleh berubah pada bila-bila masa.

“Tetapi di kawasan tertentu di mana jentera kita kuat dan calon tidak menghadapi masalah, insyaAllah kita yakin,” katanya ketika ditemui di sini baru baru ini.

Beliau menegaskan tema kempen GRS di Keranaan dan seluruh Sabah adalah soal kestabilan politik yang menjadi asas kepada pembangunan.

Tambahnya, pengalaman tiga hingga empat tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa Sabah mampu melaksanakan pelbagai projek pembangunan apabila kerajaan negeri berada dalam keadaan stabil.

“Masalah pokok kenapa Sabah masih miskin ialah tiada kestabilan politik. Terlalu banyak masa kita habiskan untuk bergaduh.

“Fokus kerajaan sepatutnya untuk membangunkan rakyat dan negeri, bukan untuk krisis politik berpanjangan,” katanya.

Mengulas mengenai hubungan negeri dan Persekutuan, beliau menegaskan bahawa Sabah tidak boleh meminggirkan kepentingan kerjasama dengan kerajaan pusat.

Katanya, pengalaman lalu ketika PBS memerintah Sabah menjadi pengajaran tentang kesan buruk sekiranya hubungan negeri dan Persekutuan renggang sehingga menjejaskan bantuan dan pembangunan.

“Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Pengalaman pahit dahulu mengajar kita bahawa Sabah perlukan hubungan baik dengan kerajaan pusat.

“Dalam pengalaman tiga ke empat tahun ini, kerajaan pusat banyak membantu dan mengiktiraf peranan kerajaan negeri yang dipimpin parti tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata fokus utama di DUN Keranaan pada penggal seterusnya adalah menambah baik infrastruktur, terutama jalan raya, yang penting bagi memudahkan pengeluaran hasil pertanian memandangkan majoriti penduduk bekerja sebagai petani.

Bagi kawasan pekan yang mempunyai komposisi penduduk berbeza termasuk masyarakat Cina, tumpuan diberikan kepada aspek kemahiran belia untuk memastikan mereka lebih kompetitif dalam pasaran pekerjaan di bandar serta sektor industri.

“Tidak semua anak muda mahu bertani. Kita faham cabarannya. Sebab itu kita sediakan latihan kemahiran supaya mereka bersedia untuk bekerja dalam industri,” katanya.

Bercakap mengenai isu serta tuduhan yang dilemparkan terhadap kepimpinan GRS termasuk dirinya, beliau menegaskan bahawa sebahagian besar tuduhan itu hanyalah fitnah politik tanpa asas.

“Tuduhan berlaku di mana-mana. Malangnya, politik kita penuh fitnah.

“Kita rujuk fakta. SPRM telah membuat keputusan berdasarkan bukti — bukan emosi. Apa yang penting, kita jelaskan kepada rakyat dengan fakta, bukan persepsi,” katanya.

Beliau menambah rekod turun padang di kawasan Keranaan sejak 2004 menunjukkan komitmen berterusan terhadap rakyat, dan itu menjadi asas keyakinan beliau untuk terus berkhidmat.

Untuk rekod, Datuk Seri Masidi Manjun kini merupakan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan memegang portfolio penting sebagai Menteri Kewangan Sabah, selain merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranaan sejak 2004.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam sektor perundangan dan pentadbiran, pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam negeri sebelum menjadi peguam di sektor swasta.

Dalam kerajaan negeri, beliau telah memegang beberapa portfolio utama termasuk Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat