Kemenangan Che’gu Bard di Port Dickson boleh dicabar, jumlah kertas undi meragukan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Keputusan menang cuma dengan perbezaan tiga undi membuatkan kedudukan Che’gu Bard selaku Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson boleh dicabar.

Kemenangan Che’gu Bard atau nama aslinya Badrul Hisham Shaharin dalam pemilihan Parti Bersatu Bahagian Port Dickson boleh dicabar apabila kertas undi dikeluarkan didakwa tidak setara jumlah perwakilan yang diumumkan sebelum proses pengundian bermula pada 2 November lalu.

Memetik laporan Utusan malam tadi, perkara itu berlaku apabila terdapat 171 helai kertas undi dimasukkan ke dalam peti undi sedangkan perwakilan yang sah hadir membuat pemilihan seramai 165 orang.

Menerusi laporan oleh Ketua Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) peringkat Negeri Sembilan, Mohd Nazim Maaruf yang diterima akhbar itu menyatakan, walaupun tanda tangan kehadiran cukup 171, namun ia bertentangan dengan pengumuman dibuat oleh pengerusi tetap.

Bahkan katanya, kesilapan turut dikesan pada senarai kehadiran apabila terdapat tanda tangan perwakilan yang dibuat bukan pada namanya.

“Oleh demikian, saya memutuskan untuk tidak meneruskan pengiraan undi kerana jumlah kertas undi yang keluar tidak sama dengan jumlah perwakilan yang diumumkan sebelum proses pengundian bermula.

“Saya menyerahkan kembali kepada Pengerusi Tetap Persidangan bagi membuat keputusan. Keputusan terakhirnya ketika itu adalah untuk membatalkan persidangan tersebut,” katanya dalam laporan setebal empat muka surat yang dikemukakan dikemukakan kepada Pengerusi JPP Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Sementara itu, laporan sama juga memaklumkan, ketika itu juga, Pengerusi Tetap Persidangan memohon untuk menggunakan kuasa yang termaktub di dalam Fasal 10 perlembagaan Parti Bersatu untuk menghalang perwakilan tersebut dari mengundi.

“Bagi memastikan tindakan tersebut, saya menghubungi Setiausaha Kerja Pusat iaitu Datuk Suhaimi untuk meminta penjelasan berkaitan tindakan yang mahu diambil Pengerusi Tetap Persidangan.

“Jawapan yang diterima adalah pengerusi tidak boleh menghalang perwakilan untuk mengundi kerana senarai akhir dari Pejabat Bersatu Pusat masih tertera nama mereka dan perkara tersebut di bawah bidang kuasa pihak Pengurusan Parti.

“Pengerusi akur dengan keputusan tersebut dan saya telah meneruskan proses pengundian selepas selesai taklimat,” tambahnya.

Dalam pemilihan Bersatu Port Dickson itu, Aktivis politik, Che’gu Bard memenangi jawatan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson dengan perbezaan sebanyak tiga undi.

Beliau menewaskan pencabarnya, Ketua Bersatu Cawangan Linggi, Datuk Zamri Md Said dalam pertandingan satu lawan satu.

Dalam pada itu, Mohd Nazim dalam laporan sama turut menjelaskan, beliau diminta untuk meneruskan kiraan undi oleh pengerusi tetap, timbalannya dan setiausaha bahagian kononnya mahu menjaga nama baik parti dan Bersatu Bahagian Port Dickson.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan mereka, keputusan tersebut boleh dicabar kerana terdapat keraguan jelas pada jumlah kertas undi, senarai kehadiran dan pengumuman kehadiran oleh pengerusi tetap.

Katanya, makluman tersebut dibuat menerusi laporan bertulis kepada pihak berkenaan.

“Saya bersetuju. Tetapi saya memaklumkan hasil kiraan itu boleh dicabar kerana tidak mematuhi peraturan serta tatacara pengundian yang ditetapkan oleh JPP Pusat iaitu terdapat perbezaan jumlah kertas undi yang keluar dengan jumlah kehadiran yang diumumkan oleh Pengerusi Tetap Persidangan sebelum agenda pengundian bermula.

“(Malah) Saya juga tidak membenarkan wakil calon untuk menandatangani borang K11 dan K12 bagi pengesahan kerana saya tahu hal tersebut menyalahi peraturan serta tatacara pengundian,” tegasnya.

Selain itu, turut dipertikaikan apabila JPP Negeri Sembilan memaklumkan terdapat tiga orang perwakilan yang dikesan ahli sah Parti Pejuang turut serta dalam pemilihan berkenaan.

Ketiga-tiga perwakilan berkenaan dilaporkan daripada Bersatu Cawangan Chuah di mana salah seorang daripadanya turut bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Bahagian.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat