“Jika ada calon yang lebih baik saya sedia beri laluan” – Ahmad Said

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said berlapang dada jika tidak dipilih sekali lagi bagi menjadi calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang terpaksa diadakan semula pada 2 Disember ini.

Ahmad berkata akan membantu sesiapa saja calon BN yang akan diletakkan bertanding di situ untuk cuba merampas kerusi berkenaan daripada PAS.

“Jika ada calon yang lebih baik saya sedia beri laluan.

“Saya berlapang dada jika tidak terpilih (sebagai calon) dan akan membantu siapa sahaja calon yang bertanding dalam pilihan raya itu nanti,” lapor BH di Kuala Terengganu.

Bekas Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu berkata, Umno negeri sudah menyenaraikan sekurang-kurangnya lima atau enam nama yang difikirkan layak untuk bertanding pada PRK itu nanti.

Beliau berkata, senarai nama itu akan diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi Umno untuk dinilai dan menentukan calon yang sesuai.

“Kita serah kepada Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid) untuk menentukan siapa yang layak untuk diletakkan sebagai calon nanti. Kita tengoklah nanti siapa calon yang dipilih Presiden,” katanya.

Ditanya apakah BN berpeluang untuk menang pada PRK itu memandangkan majoriti besar yang diperoleh PAS pada PRU15 lalu, beliau berkata ia sesuatu yang tidak mustahil.

Menurut Ahmad, kemenangan besar PAS pada PRU lalu adalah disebabkan unsur rasuah apabila rakyat ‘ditabur’ dengan pelbagai bantuan kerajaan negeri yang diagihkan dalam tempoh kempen.

“Di Kemaman, bantuan itu diagihkan pada malam sehari sebelum pilihan raya dan pada malam pilihan raya, penyokong (PAS) sudah tahu mereka menang dan berarak di sepanjang jalan di semua daerah.

“Pilihan raya kali ini pengundi perlu bijak membuat pilihan dan memilih calon yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan dan boleh mewakili suara rakyat demi pembangunan Kemaman dan rakyat Terengganu khasnya,” katanya.

Hari penamaan calon PRK Kemaman ditetapkan pada 18 November, manakala undi awal pada 28 November sementara tempoh berkempen dipersetujui selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili PAS selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada pilihan raya itu.

Pada 3 Oktober lalu, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

Pada PRU15 , Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan empat penjuru yang mana Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Dua calon lain iaitu daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Rosli Ab Ghani mendapat 506 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi).

Ahmad Zahid sebelum ini berkata BN belum menentukan calon PRK itu tetapi mengakui kekalahan majoriti besar BN pada PRU15 iaitu hampir 28,000 menjadi faktor penting dalam pemikiran.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat