PAS tak jemu pelawa Umno

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – PAS tanpa jemu terus memujuk Umno untuk menjalin kerjasama di bawah agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekali gus membentuk kerajaan kelak jika menang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS seboleh mungkin menyeru parti-parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan sekarang dapat terus bekerjasama menghadapi PRU-15 nanti seterusnya membentuk sebuah kerajaan baru yang lebih mantap dan berautoriti.

“PAS yakin agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional di antara orang Melayu- Islam, kaum Bumiputera dan rakyat pelbagai kaum di negara ini hanya dapat dicapai sekiranya kestabilan politik dapat diwujudkan selepas PRU-15.

“Justeru itu PAS terus berusaha dengan pelbagai pendekatan antaranya menyeru seboleh mungkin parti-parti yang mewujudkan Kerajaan Persekutuan sekarang dapat terus bekerjasama menghadapi PRU-15 nanti seterusnya membentuk sebuah kerajaan baru yang lebih mantap dan berautoriti,” rayu Takiyuddin dalam kenyataan pada Selasa.

Tegas beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, PAS kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan Umno sebagai rakan ta’wun sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh dalam PRU-15 nanti.

“PAS sebaliknya tetap menegaskan bahawa musuh sebenar penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk ‘Khemah Besar’.

“PAS seterusnya yakin gabungan atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional sahajalah mampu menjadi formula terbaik dan berkesan serta diterima oleh majoriti pengundi ke arah mewujudkan sebuah kerajaan prihatin rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat.

“Di samping pada masa yang sama memberikan perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang (check and balance),” ujar beliau.

PAS amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik di antara parti-parti utama Melayu-Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih dari dua penjuru dalam PRU-15 nanti, kata Takiyuddin.

Jelas beliau, ini bukan sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat merentasi kaum, agama, bangsa dan budaya, tetapi juga mengelakkan berulangnya sejarah hitam yang berlaku semasa PRU-14.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, Umno akan mengulangi keputusan PRU-14 jika kekal mahu bergerak solo.

Katanya, tindakan bergerak solo dilihat hanya lebih mementingkan diri daripada memelihara perpaduan dan menjaga kepentingan rakyat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat