Salleh Kembali Ke Pangkal Jalan, Menyesal Tinggalkan UMNO

- Advertisement -

KOTA BELUD – Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak secara terbuka mengakui kesilapan dan memohon maaf kerana membuat pertimbangan politik yang salah apabila meninggalkan UMNO pada 2018.

Beliau berikrar kembali ke pangkal jalan dengan berjuang bersama UMNO semula dan membantu Panglima Perang Sabah iaitu, Datuk Seri Bung Moktar Radin membenam musuh politik mereka yakni Parti Warisan Sabah (Warisan).

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, memohon maaf di depan Datuk Seri Najib Tun Razak, Bung, pimpinan Barisan Nasional (BN) dan juga pengundi di Kota Belud.

“Memang saya sudah melakukan kesilapan, kekhilafan dalam pertimbangan politik saya. Saya mohon maaf kepada tuan- tuan dan puan-puan.

“Saya mengakui membuat keputusan politik yang tersilap. Di depan Datuk Seri ini (Najib) saya mohon maaf, mungkin pertimbangan pada ketika itu adalah silap adalah salah.

“Tetapi kalau kita salah, kita kena balik ke pangkal jalan,” kata calon N.10 Usukan itu lagi ketika majlis pimpinan bersama rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Timbang Dayang, semalam.

Salleh yang juga pernah menjawat jawatan Speaker DUN Sabah memberitahu, meskipun beliau meninggalkan parti tetapi DNA UMNO tidak pernah hilang .

“Walau kita berada di mana pun DNA ini tidak hilang. Apabila di luar kita rasa kesunyian, kita rasa tersilap harus kita perbetulkan.

“Itulah sebabnya saya menyatakan hasrat saya kepada Datuk Seri Bung untuk bersama beliau bagi memperkuatkan parti demi menghadapi musuh utama kita iaitu Warisan, parti yang harus kita kalahkan untuk menyelamatkan negeri Sabah,” ujarnya.

Salleh menghargai penerimaan Pengerusi BN Sabah itu yang berbesar hati menerima dirinya semula meyertai parti dan menamakan beliau sebagai calon di DUN Usukan.

“Saya berterima kasih kepada Bung kerana telah mencadangkan nama saya untuk bertanding.

“ Beliau mahu saya membina satu pasukan bersama dan memperkasa anak-anak muda Kota Belud,” jelasnya.

Pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14), Salleh bertanding di Usukan namun tewas dalam perebutan empat penjuru untuk kerusi Parlimen Kota Belud kepada Isnaraissah Munirah Majlis daripada Warisan.

Salleh umum keluar UMNO pada Diember 2018 dan memohon untuk bergabung dengan PKR pada Oktober 2019, tetapi menarik balik keputusan itu pada April setelah mempertimbangkan situasi politik waktu itu termasuk konflik dalaman PKR.

Jun 2020, Salleh mengemukakan permohonan kepada UMNO Sabah untuk menyertai parti itu semula.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat