KUALA NERANG – Usul UMNO Bahagian Alor Setar supaya diwujudkan jawatan Timbalan Pengerusi Penyelaras Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Kedah bagi membantu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang bertindak sebagai pengerusi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, suara Umno Bahagian Alor Setar mungkin bertujuan memperkemaskan kolaborasi dan koordinasi dalam urusan pembangunan Persekutuan di Kedah.
“Ini kerana apabila projek pembangunan datang ke Kedah, pusatnya ICU (Pejabat Pembangunan Negeri Kedah) kemudian bila nak turun yang sambut di bawah itu JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) tetapi perantaraan itu tiada.
“Apabila itu berlaku, nampak seolah-olah tiada pihak yang hendak mengendalikan pelaksanaan projek tersebut bagi memastikan segalanya berjalan lancar. Yang ada cuma menteri itu saja dan mungkin itulah yang menjadi pertimbangan mereka (UMNO Bahagian Alor Setar),” kata Mahdzir selepas Mesyuarat Agong Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap sebentar tadi.
UMNO Bahagian Alor Setar yang bermesyuarat pagi tadi meluluskan usul agar Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MTPN.
Sebelum ini pada April lalu, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin pernah mencadangkan agar bekas Menteri Besar itudilantik sebagai Pengerusi Bersama Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) bagi membantu memastikan projek-projek kerajaan Persekutuan di Kedah berjalan dengan lancar.
Menurut Shaiful Hazizy, perkara tersebut wajar dipertimbangkan kerajaan selepas melihat banyak projek lambat dan tertangguh kerana hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan yang tidak sehaluan.
Selain itu katanya, hanya UMNO sahaja yang mempunyai akar umbi yang kukuh dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri yang sudah pasti akan memudahkan urusan pentadbiran MTPN untuk menyelesaikan isu rakyat. – SUARATV