KUALA LUMPUR: Pengasas Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamed Hanipa Maidin, melahirkan kekecewaan beliau terhadap anggota Parlimen partinya yang gagal memastikan prinsip keadilan dipertahankan dalam kes penggantungan enam bulan ke atas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal.
Hanipa yang juga merupakan mantan Timbalan Menteri Undang-Undang, mantan ahli Parlimen Sepang dan seorang peguam menulis panjang lebar sebanyak dua bahagian kepada portal Malaysiakini bagi menyatakan kekecewaanya terhadap proses tersebut dan ketidakpekaan ahli Parlimen dari Amanah.
Dalam bahagian pertama suratnya Hanipa mengingatkan ahli-ahli Parlimen dari Amanah yang beria-ria menolak penggunaan surat layang.
Menurut Hanipa sama ada wajar atau tidak sesuatu surat layang itu dikemukakan di parlimen perlu dilihat dalam konteks motif ia dibuat.
“…umumnya ahli parlimen harus dibiarkan menjalankan tugasnya secara bebas, tanpa gentar dan memihak. Kerana itu ahli parlimen dilindungi dengan beberapa kekebalan undang-undang.
Adakah kandungan surat layang dengan sendirinya (per se) mesti tidak berasas sama sekali?” tanya Hanipa yang turut mengingatkan pembaca bahawa dalam sejarah negara ini ada beberapa isu besar yang meledaknya dimulakan daripada dokumen yang berstatus surat layang!
“Mungkin ramai juga yang tidak sedar bahawa suatu waktu dahulu tersebar surat layang – yang asalnya dalam kalangan pengamal undang-undang – mengenai dakwaan wujud 112 tuduhan rasuah, salah laku dan salah guna kuasa dalam badan kehakiman. Isu itu juga meledak di parlimen.”
Hanifa memuji Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) yang membangkitkan isu ketidakadilan ke atas Ahli Parlimen Machang tersebut kerana tidak diberikan hak untuk didengar (a right to be heard) yang – antara lain – untuk membela diri.
Menurut Hanifa walaupun beliau tahu ada duluan kes menggantung terus seperti yang disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said namun ia bukanlah kes duluan patut dipertahankan.
“Saya boleh terima hujah duluan tersebut . Ya, benar telah ada duluan sebelum ini. Isunya sekarang, adakah ia sebuah duluan yang baik atau yang buruk? Sistem duluan sering dikatakan sistem yang baik bagi memastikan konsistensi dalam aspek menegakkan keadilan. Benar, tetapi selagi ia adalah duluan yang baik. Duluan yang buruk berpotensi bertukar kepada a bad and dark justice!” tulis Hanifa dalam bahagian kedua suratnya.
Bagi Hanifa walaupun Wan Ahmad Fayhsal dari parti lawan ia tidak boleh dinafikan keadilan kerana kezaliman dalam apa bentuk pun memang tidak dibenarkan oleh Islam.
“Sejujurnya saya tidak pasti mengapakah YB Machang dinafikan hak didengar. Dan bagaimanakah seseorang itu boleh menyokong keputusan yang dibuat tanpa proses yang adil? Bagi saya, hak untuk didengar – termasuk hak untuk membela diri – amat perlu diberikan kepada YB Machang…”
Hanipa mengkritik ahli-ahli Parlimen dari partinya yang meletak Islam sebagai asas perjuangan tetapi tidak mengambil peluang dalam isu ini untuk menonjolkan aspek penegakkan keadilan dari kaca mata atau neraca Islam.
“Amanah sepatutnya sedar bahawa menegakkan keadilan dalam Islam adalah suatu yang bersifat mutlak (absolute) pada sebarang masa dan tanpa mengira sesiapa. Tidak ada kompromi. Sayang sekali Amanah terlepas dan melepaskan peluang keemasan tersebut,” tutup Hanipa dalam tulisanya.