‘Najib tak bersalah hingga dibuktikan, tuduhan tak boleh tergantung tanpa penghujung’ – Hakim K Muniandy

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy berkata, kuasa mahkamah untuk membebaskan tertuduh tanpa melepaskannya (DNAA) harus digunakan dengan berhati-hati dan apabila perlu untuk menjaga kepentingan awam.

Muniandy yang membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram, berkata tiada bukti menunjukkan pendakwaan mampu meneruskan perbicaraan dalam masa terdekat atau dalam masa yang munasabah.

Hakim itu yang membacakan penghakiman beliau, berkata timbalan pendakwa raya sendiri mengakui tiada prejudis terhadap pendakwaan jika perintah DNAA diberikan seperti dimohon oleh pembelaan.

“Maka, berdasarkan keseluruhan keadaan, pihak pendakwaan kini tidak bersedia meneruskan perbicaraan terhadap pertuduhan pengubahan wang haram yang didakwa berlaku pada 2014,” katanya.

Muniandy berkata, tiga tuduhan membabitkan dana milik syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd itu sudah tertangguh selama 6 tahun sejak 2019, tanpa sebarang keterangan saksi dikemukakan.

Beliau berkata, kes hanya ditangguhkan beberapa kali dan ia menunjukkan pendakwaan belum bersedia untuk membicarakannya.

Katanya, kecuali satu set tarikh perbicaraan pada 2021 yang ditangguhkan atas permintaan Najib, semua penangguhan lain adalah atas permohonan pendakwaan.

“Penangguhan diminta pendakwaan atas pelbagai alasan termasuk menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan, keputusan rayuan dan semakan di Mahkamah Persekutuan dalam kes penyelewengan dana SRC RM42 juta serta menunggu pertimbangan representasi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya lapor BH pada Jumaat.

Muniandy berkata, susulan itu, timbalan pendakwa raya memaklumkan pada 11 Jun lalu, representasi ditolak dan memohon tarikh perbicaraan, dengan syarat antaranya bukan dalam masa terdekat, bagi membolehkan pendakwaan mendapatkan serta mengumpul semua bukti dokumentari.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini dimaklumkan dua set dokumen dan sembilan kenyataan saksi sudah diserahkan kepada pembelaan, kini pendakwaan menyatakan ia masih perlu diperoleh dan disusun semula, menunjukkan ketidaksediaan pendakwaan membicarakan kes.

Katanya, beliau juga perlu menimbangkan, jika bukti dokumentari berjaya diperoleh, ia mesti diserahkan kepada tertuduh mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah bagi membuat pembelaan selepas berbincang dengan peguam, maka kemungkinan berlaku lagi penangguhan adalah tinggi.

“Maka perbicaraan tidak boleh diteruskan dalam tempoh masa yang tidak tentu dan tidak ditetapkan.

“Undang-undang terpakai dalam sistem keadilan jenayah, tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Selepas tertuduh didakwa di mahkamah, pertuduhan tidak boleh tergantung tanpa penghujung untuk tempoh tidak ditentukan. Itu tidak adil dan menyalahi undang-undang.

“Sama ada pembebasan itu disertai pelepasan atau tidak, bergantung kepada keadaan setiap kes. Setiap kes mesti diputuskan berdasarkan merit, dengan mengambil kira kepentingan awam dan hak tertuduh untuk tidak dibebani dengan pertuduhan tanpa had masa.

“Jadi, apabila seseorang tertuduh didakwa, beliau berhak mendapat proses undang-undang sewajarnya dan keadilan yang cepat, tanpa mengira siapa pun beliau,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat