KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan salam takziah buat Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin susulan kehilangan ibu mentua tercinta Allahyarhamah Salmiah Nyakk Matt.
“Takziah kepada Ketua Pembangkang YB Hamzah Zainudin atas kehilangan bonda mentua tercinta Allahyarhamah Salmiah Nyakk Matt semalam.
“Bapa mentuanya Datuk Abdul Ghani Ngah turut terkesan dari tragedi yang menyayat hati tersebut.
“Saya mendoakan saudara Hamzah terus kuat dengan ujian dahsyat ini, dan saya turut bersedih dan mendoakan yang terbaik buat beliau sekeluarga. Semoga roh Allahyarhamah diampunkan segala dosanya dan diberi tempat yang istimewa olehNya, Insya-Allah,” ucap Anwar pada Jumaat.
Dalam insiden tragis semalam, rumah milik keluarga mentua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Kampung Sungai Rapat Tambahan di Ipoh terbakar.
Kejadian itu meragut nyawa ibu mentuanya, Salmiah Nyakk Matt, 84, manakala bapa mentuanya, Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, mengalami kesukaran bernafas.