KUALA LUMPUR – Sejumlah 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia bakal menikmati kadar tarif elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu bermula 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027.
Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pelaksanaan tarif baharu itu adalah di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), sejajar dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.
Menurut ST, perubahan dalam tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) membabitkan penstrukturan semula tiga komponen utama iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu serta mekanisme pelarasan kos bahan api.
“Berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik sepanjang tempoh RP4, kadar purata tarif asas diselaraskan kepada 45.40 sen setiap kilowatt jam (kWj), berbanding kadar 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024,” katanya.
Penetapan kadar baharu ini menyaksikan purata kos keseluruhan tarif elektrik bagi tempoh RP4 berkurang sehingga 19 peratus berbanding kadar dalam Tempoh Regulatori Ketiga (RP3).
Langkah ini dijangka memberi manfaat langsung kepada pengguna domestik menerusi kadar lebih rendah, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Pelaksanaan tarif progresif ini juga selaras dengan matlamat kerajaan untuk memastikan sistem tarif yang lebih saksama dan mencerminkan penggunaan sebenar, selain menggalakkan kecekapan tenaga dalam kalangan pengguna.
Selain itu, mekanisme pelarasan kos bahan api terus digunakan bagi memastikan ketelusan dan ketepatan dalam menetapkan kadar tarif berdasarkan perubahan kos pasaran semasa.
ST turut menegaskan bahawa pendekatan tarif progresif ini mampu memastikan kelestarian industri tenaga di Malaysia, sambil memberi perlindungan kepada golongan pengguna rentan.
Pihak suruhanjaya juga akan terus memantau pelaksanaan tarif baharu ini dan bekerjasama rapat dengan syarikat utiliti bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar serta memberi impak positif kepada rakyat.