KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini dikritik kerana tidak cekap mengurus ringgit sehingga mengakibatkan Bursa Malaysia jatuh merudum,
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil menempelak langkah kerajaan menggunakan duit sendiri untuk pertahan ringgit dan menyokong bursa ia tidak akan bertahan lama.
“Hari ini Bursa Malaysia jatuh di bawah paras 1,600 mata (enam tahun lepas semasa saya dalam kerajaan ianya berada di paras antara 1,700-1,800 mata).
“Ringgit juga melemah kepada RM4.71/USD kembali melebihi paras RM4.70/USD hari ini.
“Berbulan-bulan lepas saya sudah kata jika kita guna duit sendiri untuk pertahan ringgit dan menyokong Bursa (contohnya seperti apabila kerajaan guna duit KWSP atau GLC untuk sokong ringgit dengan menjual aset di luar negeri untuk beli saham di dalam negeri), ianya tidak akan bertahan lama,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Isham menjelaskan, duit kita akan meruap di pasaran, dan ringgit dan bursa akan jatuh semula dan kita akan rugi. Hari ini perkara ini sedang berlaku.
“Ia umpama kita berniaga nasi lemak tetapi nasi lemak kita tidak sedap dan tidak laku, namun untuk menunjukkan persepsi ia kononnya sedap dan laku kita guna duit tabung sendiri untuk beli sendiri nasi lemak yang kita jual, kita masak nasi lemak untuk dibeli sendiri setiap hari.
“Akhirnya duit tabung kita habis dan nasi lemak kita habis busuk dan basi di rumah,” kata beliau.
Menurut Isham ia sama situasi apabila KWSP jual aset-aset kita di luar negeri, pegangan aset kita di luar negeri akan berkurangan.
“Sebelum ini aset-aset ini menampung pembayaran dividen kepada pencarum-pencarum di mana 30 peratus pegangan aset keseluruhan KWSP iaitu yang berada di luar negeri ini menjana lebih 50 peratus daripada pendapatan KWSP.
“Apabila jumlah aset di luar negeri ini berkurang, KWSP akan menghadapi masalah untuk mengekalkan bayaran dividen di paras 5-6 peratus kepada pencarum setiap tahun.
“Keputusan kerajaan yang tidak betul membuatkan aset-aset ini berkurang malah ringgit dan bursa tetap merudum,” jelas Isham lagi.
Justeru menurut beliau, harga barangan dan kos sara hidup rakyat dijangka akan naik akibat kenaikan harga diesel secara mendadak oleh kerajaan.
“Nilai simpanan dan kuasa beli kita juga akan berkurang kesan dari ini.
“Pemimpin-pemimpin kerajaan menyalahkan nelayan, penyeludup dan industri atas kenaikan ini. Yang tidak mengaku salah adalah mereka walaupun mereka telah mungkir janji, tidak kompeten dan tidak amanah.
“Dan mereka bangga dengan kejayaan “besar” mereka yang dapat turunkan harga telur 3 sen. Menteri-menteri 3 sen ini kata ini semua kononnya baik untuk rakyat. Dan penjilat-penjilat 3 sen mereka semua pun setuju,” tempelak Isham.